Monday 28 March 2016

Tajuk : Pengenalan Diri.

Teks : Rohani bt Sarmani.



                      Nama saya Rohani bt Sarmani, anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik. Dilahirkan dalam keluarga yang sederhana tetapi amat menitik beratkan hal-hal keagamaan. Saya telah berkahwin dan memiliki sepasang cahaya mata yang menjadi 'penyejuk mata' (qurratul ain) ibu ayah. Syukur ke hadrat Allah kerana saya diizinkan menjadi seorang isteri dan ibu.  Betapa besarnya nikmat dan pesonanya menjawat jawatan tersebut, yang diwarnai pelbagai warna kehidupan.
                     
                      Pendidikan awal saya bermula di Kuala Lumpur dari darjah satu hingga tiga. Ketika itu abah saya bekerja di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur. Saya seterusnya melanjutkan pelajaran di Ipoh hingga tingkatan lima. Saya bukanlah tergolong dalam kalangan murid yang cemerlang. Mungkin ketika itu saya tidak menggunakan peluang dan kesempatan yang ada untuk belajar bersungguh-sungguh. Zaman persekolahan menengah banyak saya isi dengan aktiviti bersukan. Saya amat meminati permainan hoki. Saya mula berjinak-jinak dengan permainan hoki ketika dalam tingkatan dua. Setiap petang, saya berlatih bersungguh-sungguh tanpa rasa jemu. Akhirnya, ketika berada dalam tingkatan empat saya berjaya terpilih mewakili sekolah. Saya mewakili sekolah dalam pertandingan sukan daerah dan negeri Perak selama dua tahun iaitu ketika dalam tingkatan empat dan lima. Semasa berada dalam tingkatan lima, saya telah diamanahkan menjadi ketua pasukan hoki sekolah. Saya bermain pada posisi sayap kanan. Pada tahun tersebut, pasukan sekolah di bawah pimpinan saya dan bimbingan jurulatih telah berjaya menjadi johan hoki daerah dan negeri. Kemudian, saya telah terpilih mengikuti Kem Bakat peringkat negeri sebagai persiapan untuk menghadapi Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia Bawah 18 tahun. Berkat kesungguhan saya menjalani latihan, telah memikat hati jurulatih dan seterusnya saya terpilih dalam kesebelasan pemain utama untuk mewakili negeri Perak. Saya berjaya mewakili pasukan negeri Perak selama dua tahun berturut-turut. Inilah kemuncak kejayaan dan kepuasan dalam bidang sukan yang saya kecapi ketika itu.
                    Namun, walaupun saya sibuk bersukan, saya tidak mengabaikan pelajaran. Saya tetap berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia walaupun sekadar pangkat 3. Saya menyambung pelajaran hingga ke tingkatan enam dan meneruskan minat dalam sukan hoki. Malah, saya menyimpan impian untuk mewakili pasukan hoki wanita kebangsaan pada suatu hari nanti. Alhamdulillah, hasrat saya itu tidak dimakbulkan Allah. Pasti ada hikmah terindah di sebaliknya. Selepas keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia saya peroleh dengan 3 Prinsipal, saya cuba memohon untuk memasuki institusi pengajian tinggi. Tetapi, tidak berjaya. Sayamengambil keputusan untuk bekerja dan mencari peluang belajar sambil bekerja. Kerjaya sebagai guru bermula selepas saya tidak berjaya dalam permohonan ke IPTA. Saya memulakan kerjaya sebagai guru sementara di sekolah kerajaan. Kerjaya guru sebenarnya bukan cita-cita saya malah tidak pernah terlintas dalam kamus kehidupan saya. Semasa menjadi guru sementara, saya ditawarkan bekerja di sebuah sekolah rendahIslam swasta di bandar Seremban. Saya menerima tawaran tersebut kerana saya berpeluang mendidik anak-anak seagama dan sebangsa dengan saya. Saya menerima ketentuan Allah kerana sesungguhnya Allah lebih mengetahui segala yang terbaik buat diri ini. Saya mula belajar mencintai kerjaya sebagai seorang guru. Atas rasa kekurangan ilmu dan pengalaman sebagai guru, saya menghadiri kursus-kursus yang dijalankan oleh pihak sekolah. Selain itu, saya berusaha menambah ilmu pendidikan dengan cara belajar sambil bekerja. Saya mengambil Sijil Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia selama dua tahun  dari tahun 1986 hingga 1988. Kursus ini dijalankan secara separuh masa iaitu pada setiap hari Sabtu.
                                  
                            Pada November 1989, saya melangsungkan perkahwinan atas pilihan keluarga. Saya masih meneruskan pengajian saya dalam bidang pendidikan dengan mengambil kursus Diploma Pendidikan Islam, IPI selama setahun (1990-1991). Saya belajar secara separuh masa pada setiap hari Sabtu.  Pada ketika itu, saya mengandungkan anak sulung. Suami yang menjadi peneman sepanjang saya belajar di mana suami akan menghantar saya ke kampus pengajian di Kajang, menemani saya hingga ke bilik darjah dan seterusnya menunggu hingga saya selesai belajar. Inilah rutin saya dan suami setiap hari Sabtu selama setahun pengajian saya. Saya menduduki peperiksaan akhir tahun setelah saya selesai pantang melahirkan anak sulung saya. Seterusnya, pada tahun 1994 - 1995, saya menyambung kembali pengajian saya dalam bidang Diploma Kaunseling Islam, IPI selama setahun. Ketika itu juga, saya sedang mengandungkan anak kedua. Saya suka belajar ketika mengandung walaupun mengalami cabaran dan kesukaran kerana sekurang-kurangnya anak dalam kandungan saya juga sama-sama belajar dengan ibu mereka. Kali ini saya menduduki peperiksaan akhir ketika dalam berpantang. Kedua-dua anak saya lahir melalui kaedah pembedahan caesarian kerana saya tidak boleh melahirkan anak secara fitrah. Dengan perut yang masih sakit kesan pembedahan dan berbengkung rapi, saya mengatur langkah berhati-hati menuju dewan peperiksaan. Alhamdulillah, saya berjaya dalam peperiksaan dan dianugerahkan diploma. Saya sempat bekerja di sekolah rendah Islam swasta selama 8 tahun. Kemudian, saya ditawarkan bekerja di sebuah lagi sekolah rendah Islam swasta juga di bandar Seremban.  
                  
                               Atas permintaan suami, saya berehat sebentar daripada belajar. Saya meneruskan kerjaya saya dengan penuh dedikasi tanpa mengenal erti penat. Hinggalah pada tahun 2001, saya dilantik sebagai guru besar. Saya menjadi guru besar selama sembilan tahun. Tentulah sebagai guru besar, saya menjadi rujukan utama dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap guru-guru, kemenjadian murid-murid dan ibu bapa serta kecemerlangan sekolah. Lantas, keinginan untuk melanjutkan pengajian kembali membuak-buak dalam hati. Saya perlu melengkapkan diri dengan ilmu mentadbir sebagai guru besar. Saya menyatakan hasrat yang terpendam ini kepada suami dan memohon keizinannya. Alhamdulillah, suami mengizinkan saya melanjutkan pengajian. Cuma, satu sahaja masalah yang saya hadapi iaitu masalah kewangan. Apapun, dengan penuh keyakinan dan pergantungan yang kuat kepada Allah, saya mengisi borang permohonan belajar di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) cawangan Negeri Sembilan. Permohonan saya berjaya dan saya mengambil kursus Ijazah Pendidikan (Pentadbiran Pendidikan) dengan Kepujian. Pada masa yang sama, saya menyatakan hasrat saya untuk menyambung pengajian kepada ibu dan menyatakan masalah kewangan yang saya hadapi. Dengan izin Allah, ibu bersetuju untuk menaja yuran pendaftaran sebanyak RM700. Maha Suci Allah yang menggerakkan hati ibu saya. Bukan kepalang gembiranya hati saya ketika itu. Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Seperti biasa, suami menemani saya pada hari pendaftaran pengajian saya di OUM. Saya mengikuti pengajian selama lima tahun bermula dari September 2005 hingga September 2010. Rutin harian saya sebagai guru besar berjalan seperti biasa. Begiitu juga tugas saya sebagai anak, isteri dan ibu yang membesarkan dua orang anak yang sedang meningkat remaja. Bagi saya, tiada halangan yang seharusnya mengganggu gugat perjalanan saya menjejaki ilmu. Saya tetap tabah mengharungi segala jua cabaran yang mendatang sambil doaku tidak putus-putus ke hadrat Ilahi.
                   
                              Genap lima tahun belajar, pada bulan September 2010 saya secara rasminya menamatkan pengajian. Terbit rasa puas dan syukur ke hadrat Allah. Hanya menunggu sahaja masa untuk dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda dalam majlis konvokesyen yang diadakan pada bulan November 2010. Namun, disebabkan kesibukan saya dengan tugas sebagai guru besar, saya terlupa untuk mengesahkan persetujuan  menghadiri majlis konvokesyen. Saya 'terlepas' untuk meraikan hari bersejarah saya dengan suami dan anak-anak. Tetapi, saya yakin tentu terselit hikmat di sebaliknya. Kekadang apabila diingat-ingatkan kembali, timbul rasa lucu. Dalam pada itu, saya nekad untuk meneruskan pengajian pada peringkat Sarjana Pentadbiran Pendidikan. Saya pendamkan dahulu hasrat saya dan bekerja seperti biasa. "Kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari." Tanggal 28 Julai 2011, saya meletakkan jawatan sebagai guru secara mengejut, berkuatkuasa 24 jam. Saya memulangkan semula sebulan gaji yang saya terima pada bulan tersebut. Ada insiden yang berlaku yang menyebabkan saya tidak betah untuk terus bertahan di sekolah tersebut. Bagi saya, kalau sudah tiada keikhlasan dan kegembiraan untuk pergi ke sekolah dan menggalas tugas, lebih baik saya mengundurkan diri. Tidak membenarkan diri menjadi eaban kepada sekolah. Itulah prinsip hidup saya. Saya nekad walaupun dipujuk oleh pihak pentadbir. Peristiwa ini menggemparkan warga guru, murid-murid dan ibu bapa. Masing-masing terperanjat dan bertanya sebab peletakan jawatan saya. Namun, hingga ke hari ini tidak ada sesiapa di antara mereka yang mengetahui punca sebenar peletakan jawatan saya. Biarlah rahsia. Saya sempat berkhidmat di sekolah itu selama 16 tahun.  Banyak kecemerlangan yang dapat diraih hasil usaha saya dan guru-guru. Saya puas kerana berhenti ketika nama saya menjadi sebutan sebagai salah seorang 'arkitek' yang menjana kecemerlangan guru-guru dan murid-murid dari segi akademik dan sahsiah.
                            Bagi saya, setelah berhenti kerja, inilah masa yangsesuai untuk saya melanjutkan pengajian pada peringkat Sarjana Pendidikan (Pentadbiran Pendidikan) di Universiti Kebangsaan Malaysia.Permohonan saya berjaya dan buat pertama kalinya saya mendaftar sebagai pelajar tanpa ditemani oleh suami kerana tidak dapat cuti. Saya memandu kereta dari Seremban ke Bangi dengan sekali sekala ditemani linangan air mata kerana terpaksa berdikari. Tiada lagi kesempatan masa untuk suami menemani saya belajar selama dua tahun. Anak-anak saya juga ketika itu sedang menuntut di universiti. Bayangkan ibu dan anak-anak berebut-rebut belajar. Suatu momen yang sangat indah buat saya.. Tentu ada yang bertanya daripada mana sumber kewangan yang saya peroleh untuk membiayai pengajian saya di OUM dan UKM. Adakah saya mendapat biasiswa atau pinjaman PTPTN. Jawapannya, tidak. Sebaliknya, saya gunakan wang simpanan akaun 2 dalam KWSP untuk membiayai pengajian saya. Saya menghabiskan lebih RM20 ribu untuk menanggung kos pengajian saya pada peringkat ijazah pertama dan sarjana. Sekali lagi saya tidak naik ke pentas untuk menerima skrol sarjana. Bukan kerana terlupa tetapi sebaliknya saya memang teringin untuk naik ke pentas. Keinginan saya itu bertujuan untuk memberi motivasi kepada anak-anak saya. Timbul persoalan sebab saya tidak naik ke pentas. Ini adalah kerana saya tidak sanggup mengorbankan prinsip saya semata-mata untuk menggenggam skrol kosong. Syarat pihak universiti tidak membenarkan graduan 'berniqab' naik ke pentas menerima skrol sedangkan saya 'berniqab'. Biarlah saya kempunan di dunia tetapi mengecapi bahagia di akhirat.
Kini, saya telah memiliki Sarjana Pentadbiran Pendidikan tetapi saya tidak bekerja sebagai guru. Rutin harian saya diisi dengan aktiviti membuat karipap dan roti boom frozen serta jeli kelapa pandan untuk suami saya berniaga pada hari Sabtu dan Ahad. Pada hari-hari tertentu, saya mengajar kelas tuisyen Bahasa Melayu utuk murid UPSR. Apapun, minat dan kecintaan saya terhadap dunia pendidikan tidak pernah sedikitpun terpadam. Sentiasa segar dan bersemangat dalam diri. Saya menyimpan cita-cita untuk berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman dalam pendidikan dengan pentadbir sekolah dan guru-guru sekolah rendah Islam swasta. Saya cenderung untuk menjadi konsultan pendidikan. Saya juga berhasrat untuk melanjutkan pengajian pada peringkat PhD dalam bidang pentadbiran pendidikan. Selain itu, terjun dalam bidang perniagaan. Walaupun usia saya sudah menginjak masuk 'ke -5 series', namun semangat saya dalan menuntut ilmu tidak pernah luntur, Insya Allah.
                        Inilah secebis pengenalan diri yang mampu saya coret buat tatapan  dan perkongsian dengan rakan-rakan. Semoga ada manfaat yang dapat diambil. Saya mohon tunjuk ajar daripada para sifu dan rakan-rakan. Sekian.