Wednesday 27 April 2016

Murid ooooo Murid

Tajuk     :   Catatan Pengalaman
Teks      :    Rohani bt Sarmani

Entri 9.

                      Pada suatu pagi, kira-kira jam 4.00 pagi saya dikejutkan oleh deringan telefon bimbit saya. Ketika itu saya sedang tidur dengan nyenyaknya. Saya menjawab panggilan telefon itu.Warden asrama puteri sekolah saya, Cikgu Ayu (bukan nama sebenar) menelefon saya rupanya. Cikgu Ayu memaklumkan kepaada saya bahawa tiga murid asrama lelaki ditahan di balai polis.Saya agak terkejut. Saya meminta Cikgu Ayu menelefon guru besar untuk menjamin ketiga-tiga murid berkenaan.
                      Seperti biasa saya sampai di sekolah pada pukul 7.25 pagi. Guru Besar memanggil saya dan meminta saya menyelesaikan masalah tiga murid yang ditahan di balai polis tadi. Selaku guru penolong kanan hal ehwal murid, saya akur dengan tugasan yang diberi. Kebetulan ketiga-tiga  murid itu berada di dalam bilik guru besar. Tanpa berlengah, saya memulakan soal siasat terhadap mereka. Pada mulanya memang sukar untuk mendapatkan kerjasama dan sebarang maklumat daripada mereka. Mungkin mereka bersepakat untuk tidak mahu bekerjasama dan menceritakan hal yang sebenarnya. Mereka bukan sahaja telah memalukan nama baik ibu bapa malah mencemarkan imej sekolah. Apatah lagi berita penangkapan mereka telah tersebar luas di pekan A.
                Mereka berdolak-dalih ketika saya menyoal mereka dan cuba menipu saya. Berkat pengalaman saya dalam mengendalikan banyak kes disiplin murid-murid sebelum ini, akhirnya mereka terperangkap. Mereka mengaku bahawa mereka ditangkap oleh pihak polis ketika merayau-rayau di pekan A pada awal pagi, lebih kurang pukul 2.00 pagi. Ketika itu mereka sedang berbasikal menuju ke kafe internet yang beroperasi 24 jam. Aktiviti ini mereka telah lakukan hampir beberapa minggu tanpa pengetahuan warden dan sekuriti sekolah. Apabila masuk sahaja waktu tidur, mereka akan berpura-pura tidur hingga warden dan sekuriti membuat pemeriksaan murid asrama. Setelah warden dan sekuriti keluar, mereka pun bersiap-siap menyusup keluar dari pintu pagar belakang sekolah yang telah bocor. Mereka juga mengakui bahawa telah mencuri basikal anak polis sepanjang kegiatan mereka. Mereka pergi ke pekan A dengan menunggang basikal yang dicuri dan meletakkan semula di tempat letak basikal di flat polis setelah menggunakannya.
                          Tanpa dirancang, tapak tangan kanan saya melayang hinggap ke pipi salah seorang murid yang menjadi ketua kumpulan. Itu sebagai penutup kepada kes yang berlaku.  Manakala dua murid saya rotan tapak tangan mereka . Saya maklumkan hasil soal siasat saya kepada guru besar dan beliau meminta saya menghubungi ibu bapa murid-murid berkenaan. Perjumpaan dengan ibu bapa murid-murid tersebut diadakan secara berasingan. Ibu bapa murid yang bertindak sebagai ketua telah dinasihatkan menarik anak mereka keluar dari sekolah. Dalam erti kata,diminta berhenti sekolah manakala dua murid lagi diberikan amaran keras oleh guru besar.

Tuesday 26 April 2016

Demi Muridku

Tajuk      :  Jurnal Seorang Guru
Teks       :  Rohani bt Sarmani

Entri 8

                  Guru merupakan 'Jurutera Membentuk Manusia.' Banyak cabaran yang dihadapi dalam proses membentuk manusia. Peranan guru sangat penting dalam pembangunan negara. Pada pundak gurulah terjelmanya insan-insan cemerlang yang menerajui kemajuan negara. Mereka perlu mempunyai kemahiran dalam mendidik manusia yang bernama murid. Pelbagai teknik dan kaedah yang perlu dijana dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Paling utama sekali guru-guru hendaklah mahir dalam memikat hati murid-murid. Sekiranya mereka berjaya memenangi hati murid-murid, semua urusan mendidik menjadi lancar dan mudah.
                   Dalam hal ini, saya ingin berkongsi sedikit pengalaman mengenai antara beberapa kaedah saya mendekati murid-murid. Setiap kali sebelum memulakan PdP, saya akan meminta murid-murid berdoa dan berzikir serta membaca lima potongan ayat Al-Quran. Tujuannya agar hati mereka terlebih dahulu berserah kepada Allah dan dapat belajar dengan tenang. Seterusnya, saya akan memberikan sedikit nasihat kepada murid-murid. Saya sering mengingatkan kepada murid-murid bahawa ilmu itu suci dan hanya akan masuk ke dalam hati orang-orang yang suci, bersih dan tenang. Bilangan murid di dalam kelas saya  sebanyak 36 murid.
             Sesi PdP saya akan diselang seli dengan 'take 5' agar murid-murid tidak bosan belajar. Aktiviti PdP juga tidak statik tetapi pelbagai teknik digunakan bagi membolehkan murid-murid menguasai kemahiran yang diajar dengan santai dan mudah. Ada kalanya saya mempraktikkan aktiviti belajar sambil bermain di mana saya akan memberikan belon untuk ditiup oleh murid-murid. Kemudian, mereka perlu memecahkan belon tersebut dan menjawab soalan latihan yang diberi. Aktiviti ini berjalan secara berkumpulan. Sekiranya saya melihat murid-murid dalam keadaan lesu dan tidak bersemangat, saya akan mengajak mereka bermain kejar-kejar di padang dalam masa beberapa minit..Sekadar untuk mengembalikan mood dan konsentrasi mereka.
               Sudah menjadi amalan saya bahawa setiap bulan saya akan memperuntukkan sebanyak RM30 hingga RM50 daripada wang gaji saya untuk memberi ganjaran kepada murid-murid. Ganjaran tersebut dalam bentuk makanan, alat tulis ataupun wang tunai. Sekali sekala saya akan membelanja mereka makan ais krim Nestle. Dalam pada itu, setiap kali tibanya ulang tahun hari lahir saya, saya akan menyediakan 'ayam golek' untuk murid-murid saya. Saya akan menjamu mereka hidangan lima ekor ayam golek bekas tangan saya sendiri selepas waktu PdP. Selalunya selepas kelas malam. Inilah detik-detik yang sangat menggembirakan murid-murid saya. Mereka akan makan dalam kumpulan masing-masing yang terdiri daripada lapan hingga sembilan orang. Saya juga berasa seronok melihat mereka makan ayam golek yang saya masak.
                    Sebenarnya, banyak lagi teknik PdP yang saya gunakan untuk mendidik murid-murid. Selain itu, saya sangat memberi penekanan terhadap disiplin diri, ketepatan masa dan fokus semasa belajar. Didiklah anak-anak murid kita dengan penuh amanah, ikhlas dan dedikasi. Pasti kita akan sentiasa dihormati dan disayangi serta terpahat dalam hati sanubari mereka. Insya Allah, anak-anak kita juga akan dididik oleh guru-guru yang ikhlas dan dedikasi.

Monday 25 April 2016

Siapa yang curi?

Tajuk    :  Catatan Pengalaman
Teks     :   Rohani bt Sarmani

Entri 7

                 Semasa saya menjadi guru penolong kanan hal ehwal murid, saya pernah dikunjungi oleh seorang ibu murid, Puan Anis (bukan nama sebenar). Kedatangan Puan Anis adalah untuk meminta pertolongan saya bagi menyelesaikan satu masalah yang melibatkan anaknya, Azmil (bukan nama sebenar). 
                Ceritanya bermula ketika beliau dan suami bersiap-siap untuk mengerjakan umrah. Segala urusan anak-anak diserahkan kepada pembantu rumah dan dibantu oleh ibu Puan Anis. Manakala anaknya, Azmil tinggal di asrama. Sebelum berangkat ke lapangan terbang, beliau telah menyediakan wang sebanyak RM1000 tunai untuk kegunaan semasa kecemasan. Duit tersebut telah diamanahkan kepada pembantu rumahnya. Sementara itu, semua keperluan dapur dan anak-anak telah disediakan terlebih dahulu oleh suami Puan Anis. 
              Dipendekkan cerita, setelah dua minggu berada di Mekah Puan Anis dan suami selamat pulang dari Mekah. Setelah berada di rumah, pembantu rumah memaklumkan bahawa duit RM1000 yang ditinggalkan telah hilang daripada simpanannya. Puan Anis dan suaminya terperanjat. Beliau bertanya kepada pembantu rumahnya tentang hal tersebut tetapi pembantu rumahnya tidak tahu punca kehilangan duit itu. Puan Anis bertanya kepada anak-anak beliau termasuklah Azmil. Kesemua anak-anaknya tidak mengaku mengambil duit itu. Malah, Azmil menuduh pula duit itu dicuri oleh pembantu rumah mereka. Namun, daripada riak wajah dan gerak laku Azmil, Puan Anis mengesyaki Azmil yang telah mengambil duit itu. Beliau menyatakan perasaannya kepada suami dan hasil perbincangan dengan suami, mereka berpakat untuk meminta bantuan saya bagi menyelesaikan masalah ini.
                  Saya membuat janji temu dengan Azmil. Beberapa jam sebelum pertemuan diadakan, saya menunaikan solat sunat hajat bagi memohon bantuan Allah agar memberi penyelesaian terhadap  masalah yang akan saya selesaikan.  Setelah sampai pada masa yang dijanjikan, saya mempersilakan Azmil duduk dan berbicara mengenai diri dan keluarga Azmil. Ini sebagai intro sebelum saya fokus kepada perkara yang hendak diselesaikan. Saya bertanya sama ada Azmil mengetahui mengenai kehilangan duit ibunya. Dia menganggukkan kepalanya, tanda mengetahui perkara yang berlaku. Dia terus menafikan bahawa bukan dia yang mencuri duit tersebut. Sebaliknya, Azmil menuduh pembantu rumah mereka yang mencurinya. 
              Saya mula memainkan peranan secara psikologi dengan menerangkan tentang dosa mencuri, menuduh orang lain mencuri dan balasan Allah terhadap pencuri. Saya juga memberitahu Azmil tentang mustajabnya doa seorang ibu, dosa menipu ibu bapa dan betapa musibah akan menimpa anak yang derhaka. Wajah Azmil mula berubah menjadi pucat dan dia kelihatan resah. Tutur katanya juga menjadi tidak teratur. Saya psiko dia lagi tentang tindakan pihak polis sekiranya ibu bapanya melaporkan perkara tersebut ke balai polis. Dalam pada itu, saya tidak putus-putus berdoa ke hadrat Allah memohon pertolongan. 
           Akhirnya, Azmil membuat pengakuan bahawa dia yang mencuri duit yang ditinggalkan  semasa ibu bapanya mengerjakan umrah.  Sebahagian daripada duit tersebut telah digunakan untuk  membeli telefon bimbit, sedikit keperluan diri dan membelanja kawan-kawannya. Hanya tinggal beberapa ratus ringgit sahaja dalam simpanannya. Air mata keinsafan mengalir deras daripada kelopak mata Azmil menandakan dia menyedari dan menyesali kekhilafan yang telah dilakukan. Saya meminta Azmil menelefon ibunya bagi memaklumkan perkara yang sebenar dan memohon keampunan kepada ibunya.
                  Selang beberapa hari kemudian, Puan Anis menelefon saya dan memaklumkan  bahawa Azmil telah menelefon beliau. Azmil mengaku kesalahannya dan memohon keampunan daripada ibunya. Dia memulangkan baki duit yang ada dalam simpanannya dan berjanji akan mengubah sikapnya. Saya merafak kesyukuran ke hadrat Allah kerana memberikan pertolongan kepada saya.
              

Nostalgia zaman kanak-kanak

Tajuk     :  Catatan Pengalaman
Teks      :  Rohani bt Sarmani

Entri 6

               Seronoknya melalui zaman kanak-kanak saya pada tahun 1970-an. Bebas ke sana ke mari tanpa perlu kawalan ketat daripada ibu bapa dan keluarga. Dapat bermain dengan pelbagai permainan dan punyai banyak kawan sebaya. Saya dapat bermain sorok-sorok, kejar-kejar, masak-masak, bola sepak, konda kondi, main baling selipar dan bermacam-macam lagi permainan.Ada kalanya kami ke sungai menangkap anak-anak ikan dan berudu serta mandi sungai. Hidup dalam alam kanak-kanak tiada diulit oleh sebarang masalah cuma sekali sekala bergaduh dengan kawan-kawan. Itu pun cuma seketika.
               Apalagi apabila tiba bulan Ramadhan. Seronok dapat solat terawih dan bermain mercun serta bunga api. Kekadang ada juga aksi nakal kawan-kawan yang mengikat mercun tarik pada selipar pakcik-pakcik surau. Apabila mereka memakai selipar dan mula mengatur langkah, meletuplah mercun itu. Melatah dibuatnya pakcik-pakcik tu. Satu lagi situasi yang menyeronokkan adalah pada masa moreh. Saya dan kawan-kawan dapat makan pelbagai juadah makanan yang disediakan seusai solat terawih. Pada malam hari raya pula, aktiviti surau diisi dengan takbir hari raya dan kanak-kanak seusia saya sibuk dengan bunga api serta mercun. Riang ria kami bermain di sekeliling surau. Keesokan paginya, selepas selesai solat sunat Aidilfitri, kami menyusun strategi untuk  'menyerang' rumah-rumah jiran tetangga yang tidak balik ke kampung. Misi kami selain dapat makan kuih raya adalah mengumpulkan duit raya pemberian  daripada tuan rumah.
              Tetapi kini, segala-galanya berubah. Zaman kanak-kanak alaf moden ini tidak sama dan seseronok zaman saya dahulu. Kanak-kanak sekarang terlalu obses dengan gadget. Jari jemari mereka sibuk menari-nari pada butang gadget hingga tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Mereka lebih suka berkurung di rumah dengan ditemani gadget seperti komputer riba, iPad, iPhone dan sebagainya. Kekadang, anak jiran sebelah rumah pun mereka tidak kenali. Kemahiran bersosial semakin menipis. Tiada lagi sapaan mera kanak-kanak terhadap orang yang lebih tua daripada mereka apabila berselisih jalan. Malah, kekadang mereka tidak kenal rapat dengan sepupu, saudara mara dan jiran tetangga. Hidup dilingkari dengan teknologi canggih hingga diri menjadi umpama robot. Tidak halus budi dan bicara.
            Lebih malang lagi, kanak-kanak generasi kini tidak boleh bebas bergerak ke sana sini. Terpaksa diawasi dan dikawal ketat oleh ibu bapa disebabkan masalah keselamatan diri, bimbang tersalah memilih kawan atau terdedah kepada anasir jahat seperti penjenayah, peragut, pembuli dan penculik. Sana sini kedengaran berita kanak-kanak hilang, remaja tidak pulang ke rumah, isu pembunuhan dan penculikan kanak-kanak. Kehidupan kanak-kanak zaman kini terancam dek kegelojohan dan kerakusan manusia yang mengikut nafsu dan tiada peri kemanusiaan. Kanak-kanak menjadi mangsa, malah menjadi sasaran penjenayah mencapai cita-cita mereka. 
              Wahai masyarakat dunia, kasihanilah kanak-kanak. Benarkan mereka hidup dengan gembira dan selamat. Kembalikan semula keriangan mereka agar mereka dapat menempuhi zaman kanak-kanak seperti yang kalian lalui tanpa sebarang ancaman dan ketakutan.

Friday 22 April 2016

Karipap Oh Karipap

Tajuk   :  Car Boot Sale
Teks    :  Rohani bt Sarmani

Entri 5

                   Tiga tahun yang lalu, saya tidak menjangka bahawa saya akan menerjunkan diri di dalam dunia perniagaan. Saya mencuba nasib dengan membuat produk makanan sejuk beku iaitu karipap dan roti boom. Saya menyuarakan hasrat saya kepada suami dan beliau bersetuju dengan niat saya. Malah, beliau bersedia untuk menjualkan produk saya . Kami memilih pasar awam yang berdekatan dengan tempat tinggal kami sebagai lokasi perniagaan kami.
              Bagi memastikan hasil produk saya mendapat tempat pada hati para pelanggan, saya menggunakan bahan-bahan yang berkualiti seperti daging segar jenis bola, ayam organik Az Zain dan tepung gandum tanpa pemutih. Di samping itu, saya juga membuat jeli kelapa pandan yang enak dimakan terutama pada musim panas.
               Konsep perniagaan saya adalah secara 'Car Boot Sale.' Strategi pemasaran yang saya lakukan ialah produk keluaran saya akan pergi kepada pelanggan. Saya tidak menghantar hasil produk saya ke kedai makanan sejuk beku walaupun ada permintaan supaya saya berbuat demikian. Dengan strategi yang saya jalankan, saya boleh mendapat respons segera daripada pelanggan mengenai hasil produk saya.
                      Pada setiap hari Sabtu dan Ahad, suami saya akan membawa hasil produk saya ke pasar awam yang berhampiran. Kami hanya menjalankan perniagaan pada hari Sabtu dan Ahad sekiranya suami tidak bekerja pada hari tersebut.Sebagaimana biasa, pada peringkat permulaan, produk keluaran saya tidak mendapat sambutan. Namun, berkat kesabaran suami terus berniaga saban minggu, akhirnya produk kami mendapat sambutan daripada masyarakat setempat. Kadangkala, ada juga pelanggan yang membuat tempahan karipap dan jeli kelapa pandan untuk majlis mereka.
                       Alhamdulillah, hingga kini kami mampu menjual karipap antara 30 hingga 40 bungkus untuk dua hari dan jeli kelapa pandan antara 200 hingga 300 cawan pada satu-satu masa. Pelbagai kerenah pelanggan yang suami saya temui dan ada kalanya menguji kesabaran. Namun, berbekalkan senyuman dan tutur kata yang sopan, suami saya tetap melayan para pelanggannya. Kekadang tidak menang tangan beliau menyiapkan tempahan daripada para pelanggan. 
                         Saya bersyukur kepada Allah kerana bidang perniagaan telah menjadi sebahagian daripada tempat kami meraih rezeki dan mengajar kami erti tawakal  serta pergantungan yang tinggi kepada Allah dalam setiap urusan hidup ini. Saya menyimpan hasrat dan impian agar pada suatu hari nanti hasil produk saya dapat menembusi pasaran atau permintaan di hotel-hotel dan pasaran luar.
                               

Wednesday 13 April 2016

Tajuk     :   Jurnal Seorang Guru.

Teks      :   Rohani bt Sarmani.

Entri 4.

                      Tempoh 26 tahun menjawat jawatan sebagai guru merupakan satu tempoh yang sangat indah dan membahagiakan. Apa tidaknya, setiap hari saya memberikan tunjuk ajar dan nasihat serta bimbingan secara berterusan tanpa berasa jemu kepada anak-anak didik saya. Nasihat dan bimbingan yang diberikan kepada anak-anak didik, juga menjadi ingatan dan muhasabah kepada diriku sendiiri. Apatah lagi, tugas guru sebagai pendidik dan pemberi pesanan merupakan tugas mulia yang digalas sebagai kesinambungan kepada tugas para Nabi dan Rasul Allah.

                      Pelbagai kenangan dan memori indah dan pahit ditempuhiketika melalui liku-liku hidup sebagai guru. Pada kesempatan ini, saya ingin berkongsi satu dua kisah yang saya lalui semasa menjadi guru biasa. Ketika pada awal pembabitan saya dalam arena pendidikan, saya diamanahkan mengajar subjek Bahasa Melayu tahun dua dan tiga. Seperti semua orang mengetahui, apabila kita berhadapan dengan murid-murid seawal umur lapan dan sembilan tahun, kita perlu bijak memikat hati dan perhatian mereka.  Bagi memastikan PdP berjalan dengan lancar dan berkesan, saya akan menyediakan rancangan pelajaran yang menarik. Setiap kali mengajar, saya akan menyediakan bahan bantu mengajar (BBM) dengan menggunakan kad manila atau kertas mahjong. Ternyata pendekatan yang sedemikian dapat menarik perhatian dan tumpuan belajar murid-murid. Disebabkan saya terlalu obses dengan BBM, ada sahaja masa yang terluang sama ada di sekolah atau di rumah, saya akan menyediakannya. Pen marker dan pensel warna menjadi teman setia saya. Rupa-rupanya, ada mata-mata yang sentiasa memerhatikan saya membawa BBM ke hulu dan ke hilir menuju ke kelas. Ada antara guru yang menggelarkan diri saya sebagai 'Penjual Batu Aked.'. Apa tidaknya,  BBM yang telah disiapkan selalunya saya akan masukkan ke dalam kit /beg BBM yang dihadiahkan oleh seorang kenalan yang merupakan guru pelatih maktab. Namun, saya tidak pernah berkecil hati atau tersinggung dengan gelaran tersebut. Saya menganggap itu semua sebagai guruan manja dan pembakar semangatku.

                        Pernah pada suatu hari, guru besar saya tertarik melihat BBM yang saya buat. BBM tersebut berkenaan dengan tajuk "Kemudahan Awam." Saya melukis gambar beberapa kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan. Guru Besar meminta izin daripada saya untuk masuk melihat saya mengajar tajuk tersebut menggunakan BBM. Terasa bangga bercampur gementar juga perasaan saya apabila Guru Besar menyatakan hasrat beliau. Ketika hendak masuk ke kelas, saya singgah di pejabat untuk menjemput Guru Besar masuk ke kelas saya. Beliau duduk di belakang kelas sementara saya mengajar murid-murid seperti biasa. Mungkin disebabkan teruja dengan penglibatan aktif murid-murid semasa saya mengajar dengan BBM yang telah dibuat, belaiu meminta izin pula untuk mengajar murid-murid menggunakan BBM saya. Kebetulan pula, saya mengajar dua waktu dalam kelas tersebut. Saya mempersilakan Guru Besar ke hadapan kelas dan saya duduk di belakang kelas melihat Guru Besar mengajar. Terbit rasa lucu dalam hati ini mengenangkan situasi tersebut. Saya pula yang menyelia Guru Besar mengajar murid-murid. Namun, saya bangga kerana Guru Besar sudi menggunakan BBM saya sebagai bahan mengajar.Tidak sia-sia gelaran sinis yang diberikan oleh beberapa guru kepada saya. Momen itu menjadi motivasi yang manis kepada saya dalam meneruskan kerjaya sebagai guru ketika itu.

                               
                      

Thursday 7 April 2016

Tajuk     :  Catatan Harian
Teks       :  Rohani bt Sarmani

Entri 3

                      Pagi semalam saya ke kedai serbaneka 7 Eleven untuk membeli top up UMobile berharga RM10.00.Setelah membeli top up, saya terus memandu ke rumah emak yang memakan masa selama sepuluh minit perjalanan. Setibanya di rumah emak, saya berhasrat memasukkan nilai top up itu ke dalam telefon bimbit yang baharu saya beli beberapa hari lalu. Malangnya, saya dapati top up yang diberi oleh staf 7 Eleven itu berjenama Tune Talk. Saya menyimpan sahaja slip top up itu ke dalam dompet. Pada sebelah petangnya, saya pergi semula ke kedai 7 Eleven dan berjumpa dengan staf yang bertugas. Ternyata staf yang bertugas bukan staf pagi tadi. Saya menerangkan kepada staf tersebut mengenai tujuan saya untuk meminta kembali duit RM10.00 dan memaklumkan kesilapan yang dilakukan oleh staf pagi tadi. Staf yang bertugas tidak dapat berbuat apa-apa dan meminta saya berjumpa dengan pengurus pada keesokan paginya.

                            Pada keesokan paginya, saya pergi ke kedai 7 Eleven untuk berjumpa pengurusnya. Saya menerangkan mengenai kejadian semalam dan ingin meminta semula duit top up saya. Pengurus 7 Eleven itu meminta stafnya menelefon pihak berkaitan dan memohon maaf kepada saya sebab tidak dapat memulangkan wang tersebut. Lalu, beliau beredar dari kaunter dan masuk ke dalam pejabatnya. Sebenarnya, saya bukan sangat hendak mendapatkan semula duit RM10 cuma sekadar ingin melihat cara pihak 7 Eleven berurusan dengan pelanggan mereka. Sementara itu, staf yang diarahkan menelefon pihak berkaitan telah berbuat demikian tetapi tidak mendapat sebarang respons. Daripada riak wajah yang serba salah, beliau berjanji kepada saya bahawa top up tersebut akan dijual kepada pelanggan lain dan menghubungi saya sekiranya berjaya berbuat demikian,Saya akur sahaja dan berlalu daripada kedai itu. Begitulah resmi sistem ekonomi kapitalis, mereka yang membuat kesilapan tetapi pelanggan yang terpaksa menanggung akibatnya. 

                                Kemudian, saya memandu kereta saya ke rumah emak. Saya ada tugasan yang perlu dibereskan iaitu membuat karipap frozen. Saya perlu menyelesaikan proses membuat karipap sebelum pukul 5.00 petang kerana selepas itu saya mengajar kelas tuisyen Bahasa Melayu hingga pukul 7.00 malam. Semasa sedang sibuk memotong ubi kentang, saya menerima panggilan telefon daripada seorang rakan yang bertugas di sebuah sekolah rendah swasta. Beliau ingin meminta bantuan saya membuat pemantauan PdP guru-guru di sekolahnya. Saya bersetuju untuk membantu tetapi meminta beliau mengaturkan dahulu pertemuan saya dengan GPK Akademik sekolah berkenaan.  Tujuan saya adalah untuk melihat perancangan yang telah diatur oleh GPK Akademik dan mengetahui kekangan yang beliau hadapi dalam menjalankan tugasannya. Saya meminta agar janji temu dengan GPK Akademik  diadakan pada hari Isnin minggu hadapan. Setelah selesai urusan dengan kenalan saya itu, saya  pun meneruskan tugas yang terhenti tadi.                        

Monday 4 April 2016

4 April 2016

Tajuk     :  Catatan Harian.

Teks      :   Rohani bt. Sarmani

Entri  2.

                    Alhamdulillah, segala puja dan puji dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita dalam mengharungi kehidupan di dunia ini. Selawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, yang sentiasa didamba dan dirindui oleh setiap insan bernama mukmin. Salam sejahtera buat rakan taulan dan sahabat handai yang berkesempatan melawati laman ini.
                    Teruja rasanya hati saya apabila pagi ini saya berkesempatan memberi ceramah pendidikan dalam kursus guru yang diadakan oleh sebuah sekolah rendah Islam swasta di bandar Seremban. Dalam kursus guru tersebut saya diamanahkan menyampaikan dua slot ceramah dan dua sesi bengkel yang memakan masa lebih kurang lapan jam. Rindu terhadap alam pendidikan setelah hampir empat tahun meninggalkannya rasa terubat sedikit. Terbit semangat yang membara dalam hati saya untuk melaksanakan tugas yang diberi dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh. Sebenarnya, jauh dalam benak hati saya amat mencintai bidang pendidikan. Namun, apakan daya aku terpaksa nekad meninggalkan alam ini setelah bergelumang selama 26 tahun. Pasti terhimpun terlalu banyak hikmah yang disediakan oleh Allah. Berbalik kepada slot ceramah yang diamanahkan kepada saya. Tajuk slot ceramah yang pertama ialah "Guru sebagai Satu Profesion: Ciri-ciri Guru yang Profesional dan Konsep 5M". Manakala slot ceramah yang kedua ialah " Konsep Etika: Etika Guru, Integriti & Akauntabiliti Guru dan Isu Salah Laku Guru." Setiap slot ceramah berlangsung selama dua jam dan disusuli dengan sesi bengkel. Bagi sesi bengkel yang pertama tajuknya ialah "Kasut Buruk' yang merupakan satu paparan video pendek yang berdurasi empat minit. Paparan video ini berkisar mengenai kisah kegigihan dan akauntabiliti seorang guru terhadap anak muridnya. Agak syahdu juga jalan cerita yang dipaparkan hingga mampu menimbulkan rasa empati dalam hati kami.
                                 Pada sebelah malam pula, kursus diteruskan dengan slot ceramah yang kedua. Slot ceramah yang sepatutnya dimulakan pada jam 8.00 malam tidak dapat berjalan dengan lancar. Ini adalah disebabkan sebahagian guru masuk lewat ke bilik kursus. Menyirat darahku  menahan kemarahan atas sikap sambalewa para guru. Apa lagi, melihatkan tidak ada seorang pun wakil pihak pentadbir atau penganjur yang menjengokkan muka untuk memantau perjalanan kursus. Alhamdulillah, saya dapat memupuk kesabaran dalam diri ketika menghadapi situasi ini. Saya tetap tenang dan sabar menanti bilik kursus dipenuhi oleh para guru. Saya memang sangat tegas tentang disiplin dan menepati masa kerana itu merupakan antara kunci kecemerlangan seseorang individu. Mana mungkin kita boleh berjaya dengan cemerlang sekirannya kita tidak ada disiplin dan tidak menepati masa.  Setelah menanti hampir setengah jam, baharulah bilik kursus penuh dengan para guru. Saya memulakan slot ceramah dengan memberi teguran yang tegas terhadap disiplin dan menepati masa. Saya menyentuh tentang sikap guru-guru yang tidak menepati masa dan mengambil ringan terhadap perkara tersebut. Sememangnya saya tidak dapat menahan kemarahan saya ketika itu namun, kemarahan itu saya salurkan dengan santun. Saya berharap teguran yang diberi dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para guru yang hadir. Seterusnya, saya  menyambung slot ceramah kedua ini dengan memberi penekanan terhadap kepentingan guru mempunyai etika yang positif, membincangkan mengenai lima aspek akauntabiliti guru dan  menyentuh mengenai isu salah laku guru. Etika guru dan isu salah laku guru pada masa kini banyak memberi kesan dan mencalar sedikit sebanyak maruah dan wibawa profesion keguruan. Atas dasar itu maka setiap guru wajib mempunyai etika yang betul sebagaimana yang telah digariskan dan mengelakkan diri daripada menjadi bahan cemuhan masyarakat. Slot ceramah saya pada malam itu berakhir hampir pukul 10.00 malam. Sesi bengkel seterusnya akan disambung pada malam esok.
                                         Saya bergegas pulang ke rumah yang memakan masa lebih kurang sepuluh minit perjalanan dengan memandu kereta. Tidak sangka saya mampu menyelesaikan tugasan selama enam jam setelah lama menyepi daripada bidang pendidikan. Namun, saya berasa puas kerana dapat melepaskan rindu terhadap dunia pendidikan yang telah mendarah daging dalam diri saya selama ini.
Terima kasih Allah.