Wednesday 25 May 2016

Idea....idea....

Tajuk    :  Catatan Harian
Teks     :  Rohani bt Sarmani

Entri 16.

                      Salam ukhuwah buat rakan-rakan seperjuangan. Agak lama juga saya tidak menulis, lebih kurang seminggu lebih. Bukannya apa cuma kekeringan idea untuk menulis. Pada hari ini pun saya tidak punya isu khusus untuk dikongsikan. Sekadar santai-santai sahaja.
                      Sejak akhir-akhir ini saya mulai sibuk dengan beberapa tugas yang perlu dilangsaikan serentak. Pada akhir bulan lepas, saya telah dilantik untuk menganggotai satu jawatankuasa pembangunan staf di Sekolah A. Fungsi jawatankuasa tersebut adalah menyelia dan memacu kecemerlangan guru-guru sekolah A. Selain itu, berusaha menjana program dan kursus yang bersesuaian mengikut keperluan semasa guru.
                     Pada pertengahan bulan Mei pula, saya telah dilantik menjadi guru mentor di sekolah tersebut untuk jangka masa lima bulan. Mungkin pihak pentadbir ingin melihat terlebih dahulu prestasi saya sebelum menawarkan kontrak yang lenih lama lagi. Namun, saya tidak kisah. Apa yang penting, saya perlu menggalas amanah yang ditugaskan kepada saya dengan bersungguh-sungguh. Fungsi saya di sekolah tersebut sebagai guru mentor adalah untuk memberi khidmat bimbingan, nasihat dan tunjuk ajar kepada pihak pengurusan sekolah, guru-guru  dan kecemerlangan murid-murid.
                     Walaupun saya sudah biasa dengan rutin mentadbir dan mengajar namun saya perlu juga menyesuaikan pendekatan saya dengan situasi dan realiti di sekolah tersebut. Saya perlu berhati-hati dan lebih kreatif dalam memimpin dan membimbing mereka. Maklumlah, tempat baharu. Bagi memulakan tugas ini saya diminta membimbing guru penolong kanan akademik melaksanakan peranannya. Sebagai langkah pertama, saya mulakan dengan meminta GPK Akademik menyediakan jadual penyeliaan PdP guru untuk saya cerap. Setakat hari ini saya telah menyelia enam orang guru. Rata-rata mereka berpotensi cuma perlu diberi pendedahan dari aspek kaedah dan teknik PdP  dengan lebih berkesan.
                     Selain itu, saya membantu ketua sektor pembangunan profesionalisme guru untuk menjana program atau kursus guru serta aktiviti yang perlu dilaksanakan. Memandangkan Sekolah A merupakan sekolah yang baharu tumbuh maka banyak perancangan pendidikan yang perlu dirancang secara berkala bagi melonjakkan kecemerlangan guru dan murid-murid. Saya perlu menjana pelbagai idea untuk dicadangkan kepada pihak pentadbir sekolah berkenaan. Namun, tugasan asasi saya sebagai pembuat karipap frozen, roti boom dan jeli kelapa pandan tetap saya galas.

Semoga bertemu lagi pada lain lembaran. Salam ukhuwah penuh kasih sayang buat kalian semua.

Monday 16 May 2016

Selamat Hari Guru

Tajuk    :  Jurnal Seorang Guru
Teks     :  Rohani bt Sarmani

Entri 15.

               Segala puja dan puji dipanjatkan ke hadrat Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Salawat dan salam dirakamkan buat Junjungan Besar Rasulullah S.A.W., Kekasih Allah,Penghulu segala Nabi dan Rasul, kaum keluarga, sahabat-sahabat baginda dan seluruh kaum muslimin dan muslimat. Alhamdulillah, diucapkan kerana saya masih diberi peluang dan ruang serta sedikit idea untuk menulis coretan pada kali ini.
            Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan "Selamat Hari Guru" - Guru Pembina Negara Bangsa kepada warga guru. Setiap tahun kita akan menyambut Hari Guru dengan pelbagai tema yang silih berganti. Saat inilah yang sangat-sangat dinanti-nantikan oleh warga guru dan perasaan terharu pantas menerjah setiap kali ucapan Selamat Hari Guru diucapkan oleh murid-murid kepada guru-guru.Tanpa mengira murid yang baik, bijak, pintar mahupun nakal berebut-rebut mengucapkan Selamat Hari Guru kepada guru-guru mereka.  Setiap kali itu jugalah para guru dihadiahkan buah tangan oleh murid-murid sebagai tanda terima kasih dan menghargai jasa guru. 
                 Namun, bukanlah sangat hadiah yang didambakan atau diinginkan oleh para guru daripada anak-anak didik mereka.Setiap guru akan berasa bahagia dan hilang segala penah lelah mendidik sekiranya anak-anak didik mereka berjaya, berakhlak mulia dan menjadi insan berguna kepada agama, masyarakat dan negara. Begitu jugalah dengan diri saya, bahagian dan gembira melihat kejayaan anak-anak murid.
                   Semasa saya masih berkhidmat di sekolah, sambutan Hari Guru disambut dengan meriah oleh guru dan staf . Banyak acara yang diadakan pada hari tersebut. Acara yang paling dinanti-nantikan oleh setiap guru dan staf adalah acara bertukar-tukar hadiah sesama guru dan staf. Setiap guru dan staf diminta memperuntukkan sebanyak RM30 untuk membeli hadiah dan hadiah tersebut akan ditukarkan dengan rakan guru dan staf yang telah terpilih. Pilihan pula dibuat dengan cara setiap guru dan staf akan 'mencabut' undi nama guru dan staf yang disediakan. Acara ini sangat melucukan dan menimbulkan suasana yang meriah dalam kalangan guru dan staf. 
                 Sebagai guru besar ketika itu, setiap kali Hari Guru saya akan memperuntukkan sebanyak RM150 untuk membeli hadiah kepada guru yang terpilih menerima hadiah daripada saya. Bukanlah untuk menunjuk-nunjuk tetapi sebagai menghargai rakan guru dan staf yang bersama-sama saya memajukan sekolah. Memang ketika itu masing-masing berdoa agar terpilih mendapat hadiah daripada saya. Saya akan berasa bahagia apabila melihat guru-guru gembira dan ceria. Kegembiraan dan keceriaan gurulah yang akan mampu menerbitkan aura dan kekuatan dalaman guru dalam mendidik anak-anak didik pada zaman yang sangat mencabar ini.
                       Walaupun saya tidak lagi berada di sekolah mendidik murid-murid, namun setiap kali tibanya Hari Guru, memori dan kenangan indah semasa bergelar guru di sekolah acap kali memenuhi ruang ingatan saya.

Friday 13 May 2016

Cari bahan

Tajuk       :   Catatan Harian
Teks        :   Rohani bt Sarmani

Entri 14.

                 Pagi ini saya mengosongkan aktiviti harian membuat karipap dan roti boom. Saya ingin rehatkan sebentar tangan yang menari-nari menguli tepung mengikut rentak yang diatur. Penat juga setelah berhari-hari menguli tepung. Maka, hari ini saya hendak alihkan jari-jari ini untuk menari di atas papan kekunci laptop mencari bahan-bahan rujukan . Pada hari ini saya sedang gigih menyediakan bahan untuk ceramah pendidikan.
                Insya Allah, pada minggu pertama cuti semester nanti, saya diberikan tugas untuk menyampaikan satu slot ceramah pendidikan kepada guru-guru sekolah A. Bukannya pandai sangat berceramah tapi sekadar berbual-bual dan melontarkan idea serta pengalaman silam semasa menjadi guru satu ketika dahulu.
                Tajuk ceramah yang akan saya sampaikan ialah Pengurusan Tingkah Laku Murid Di Dalam Bilik Darjah dan Pengurusan Bilik Darjah Yang Berkesan. Berat juga tajuk ini apatah lagi bahan yang hendak disediakan banyak. Jadi, saya perlu bijak mengolah isi-isi bahan agar tidak membosankan para peserta. Mata pulak mengantuk setelah perut penuh diisi pagi tadi dengan roti bakar dan mi sup. Tetapi, saya gagahkan juga diri untuk tidak kalah dengan mata yang minta ditidurkan.
                Ini sahajalah masa yang boleh saya peruntukkan untuk mencari bahan-bahan ceramah. Oleh itu, saya tidak boleh mengikut kemahuan mata. Saya perlu terus berjuang melawan rasa mengantuk dengan pelbagai cara tersendiri.
                Berdasarkan pengalaman saya semasa di sekolah dahulu, saya perhatikan pengurusan bilik darjah kurang diberikan perhatian oleh guru-guru. Mungkin disebabkan kesibukan guru-guru dengan minit mengajar yang banyak. Mereka perlu menyediakan bahan-bahan pengajaran sebelum masuk ke dalam bilik darjah. Namun begitu,sebenarnya sehebat mana pun guru atau secanggih mana pun bahan PdP yang disediakan, akan menjadi tidak berkesan sekiranya bilik darjah dan murid-murid tidak diurus dengan baik. Pengurusan bilik darjah yang berkesan melibatkan beberapa aspek. Antaranya, ciri-ciri peribadi guru sebagai pengurus bilik darjah, rutin dan peraturan bilik darjah, iklim bilik darjah dan hubungan antara aspek pengurusan dan pengajaran.
                  Semasa menjadi guru besar, saya sempat menjalankan tugas penyeliaan PdP guru dan pengurusan bilik darjah. Saya mendapati banyak aspek yang perlu ditambah baik dalam hal berkaitan dengan pengurusan bilik darjah. Pengurusan bilik darjah yang berkesan akan mewujudkan situasi yang kondusif dan ceria. Secara tidak langsung, tingkah laku murid-murid juga boleh dikawal dan sentiasa berada pada tahap yang baik.  Akhir sekali, PdP guru menjadi berkesan dan murid-murid mendapat manfaat yang banyak.
                  Sampai di sini sahaja. Selamat Hari Guru kepada warga guru yang menabur jasa tanpa jemu demi melahirkan generasi ummah yang gemilang, cemerlang dan terbilang.
             

Wednesday 11 May 2016

Tajuk     :   Catatan Harian
Teks      :    Rohani bt Sarmani

Entri 13

                   Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana saya masih mampu untuk bangun pagi, menghirup udara segar sambil mengucap syukur ke hadrat Allah. Pada hari ini saya ada beberapa tugasan yang perlu dibereskan dengan teratur. Selepas selesai solat Subuh, saya terus ke dapur kerana pada pagi ini saya perlu menguli tepung gandum untuk membuat roti boom. Saya meminta suami pergi ke restoran untuk membeli roti canai dan nasi lemak.
                  Sementara menunggu suami balik dari restoran, saya menguli tepung gandum hingga menjadi doh roti boom. Selesai sahaja tugasan tersebut, saya bersarapan dengan suami. Kami tinggal berdua sahaja sebab anak-anak masih belajar di universiti dan bekerja. Memang sunyi apabila tinggal berdua. Apa tah lagi kalau suami pergi kerja. Tetapi, takpa, pandai-pandailah kita isikan masa dengan melakukan perkara yang berfaedah.
                  Selesai sarapan, saya bersiap-siap untuk keluar kerana pada pagi ini saya ada janji temu dengan seseorang di sekolah A. Janji temu itu kami manfaatkan sepenuhnya dengan berbincang mengenai PdP guru, isu-isu berkaitan kecemerlangan sekolah dan perancangan kursus guru yang akan diadakan pada cuti semester nanti. Saya kalau diajak berbicara mengenai perancangan sekolah dan guru, memang tidak pernah kering idea. Ada-ada sahaja idea yang mencurah-curah datang. Itulah tanda betapa cintanya saya akan dunia pendidikan.
                    Jam dinding menunjukkan pukul 12.00 tengah hari. Saya meminta izin untuk balik ke rumah. Sesampai di rumah emak, saya berehat sebentar dan makan tengah hari. Seusai solat Zuhur, saya mencanai roti boom yang telah saya perap dengan minyak kelapa pagi tadi. Kemudian, saya melelapkan mata barang sebentar kerana selepas Asar saya ada kelas tuisyen Bahasa Melayu tahun 6. Kelas tuisyen saya bermula pada pukul 5.00 petang dan berakhir pada pukul 7.00 malam. 
                     Kemudian, saya perlu bergegas pulang ke rumah sebelum malam menjelma. Pada malam ini saya keseorangan di rumah kerana suami saya bekerja shift petang sepanjang minggu ini. Duduklah saya seorang diri ditemani dengan peti televisyen yang bersiaran. Malam ini saya hendak menonton program Akademik Silat Pendekar Muda terbitan TVHijrah yang menjadi fenomena dalam kalangan anak-anak muda kini.Insya Allah, mulai minggu hadapan saya tidak akan keseorangan pada waktu malam menunggu suami pulang dari pejabat kerana anak bujang saya akan mula bekerja di sebuah kilang di Seremban. Adalah kawan untuk saya berbual-bual dan berleter. Terima kasih Allah.

Tuesday 10 May 2016

Pesta Ilmu Lagi

Tajuk    :  Catatan Harian
Teks      :  Rohani bt Sarmani

Entri 12

             Hari Ahad yang lepas (8 Mei), saya sekeluarga sekali lagi mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Maeps. Ini merupakan kunjungan kedua kami ke sana. Tidak puas rasanya semasa pergi buat pertama kali. Tidak banyak gerai buku yang dapat kami kunjungan disebabkan kesuntukan masa.
           Kali ini saya berasa puas hati kerana dapat berada lebih lama di pesta buku. Selain mencari buku-buku untuk diri sendiri, saya dan suami menemani anak-anak memilih buku-buku yang sesuai untuk mereka. Mereka menggunakan voucher buku untuk membeli buku-buku pilihan mereka. Kami sempat berkunjung di gerai buku Dewan Bahasa dan Pustaka, PTS Publications, MPH Publications, Pustaka Cahaya Kasturi milik Sahibul Samahah Datuk Dr Zulkifli Al Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan, Suhan Publications milik pelakon terkenal Rosyam Nor, Dubook dan beberapa gerai lagi.
           Pesta buku kali ini sangat memuaskan hati kami para pengunjung disebabkan venue yang disediakan selesa dan luas di mana tiga buah dewan disediakan untuk pesta buku(Dewan A,C dan D), Shuttle bus juga disediakan oleh pihak penganjur untuk mengangkut para pengunjung ke dewan pesta buku. Kami berasa lebih selesa dan tidak penat kerana dapat menaiki pengangkutan yang disediakan memandangkan dewan-dewan pesta buku terletak di kawasan yang agak tinggi. Penat juga kalau berjalan kaki.
           Selain daripada itu, kemudahan tempat solat yang disediakan juga lebih luas dan selesa. Para pengunjung yang lapar boleh menjamu selera di gerai-geari makanan yang disediakan di luar dewan. Pihak penganjur juga menyediakan urus setia di setiap pintu masuk dan keluar dewan bagi memudahkan para pengunjung mendapatkan makluman mengenai lokasi gerai dan beberapa maklumat lain.
             Cuma, satu perkara yang kami tidak puas hati kerana masa beroperasi pesta buku itu berakhir pada pukul 9.00 malam pada hari  Sabtu dan Ahad. Manakala pada hari Isnin hingga Jumaat,pula pada pukul 7.00 malam. Pada pandangan kami, peruntukan masa yang diberi tidak mencukupi untuk para pengunjung memilih dan membeli buku. Memandangkan pesta buku ini hanya setahun sekali diadakan, apalah salahnya kalau dipanjangkan sedikit masa beroperasinya hingga pukul 10.00 malam. Apatah lagi, inikan pesta buku antarabangsa. Harap hal ini dapat difikir-fikirkan oleh pihak penganjur pada lain masa.

Wednesday 4 May 2016

Berkongsi pengalaman

Tajuk     :   Catatan Harian
Teks      :   Rohani bt. Sarmani

Entri 11

                 Petang semalam pada pukul 2.00 petang, saya ada janji temu dengan gpk akademik sekolah A. Kami berdua akan menjalankan penyeliaan PdP guru di dalam kelas. Kami memilih dua guru untuk diselia. Kedua-duanya guru lelaki. Seorang mengajar subjek Sains Tahun 1 manakala seorang lagi mengajar subjek Tilawah Al-Quran Tahun 2. Penyeliaan PdP guru berlangsung antara pukul 2.00 hingga 3.40 petang.
                   Hampir lebih empat tahun saya telah meninggalkan tugas menyelia PdP guru di dalam kelas. Dulu, semasa saya menjadi guru besar, setiap minggu saya akan menyelia PdP guru di dalam kelas. Pelbagai ragam guru dan murid-murid yang dapat saya lihat semasa menjalankan operasi penyelian itu. Kekadang, ada juga guru yang kantoi kerana tidak menyiapkan rancangan pelajaran harian ketika saya membuat penyeliaan 'mengejut.' Masak cikgu itu saya bagi 'lecture'.Taubat 'lahum' cikgu itu, tak akan mengulangi kesilapan lalu.
                       Berbalik kepada operasi penyeliaan yang saya jalankan semalam. Banyak perkara yang boleh dipelajari dan ditambahbaik dalam proses meningkatkan kecemerlangan PdP guru. Terbit juga rasa kasihan apabila melihat guru-guru yang diselia mengajar bersungguh-sungguh tetapi tidak menepati objektif dan hasil pembelajaran yang digariskan. Murid-murid pula sangat aktif memberikan respons terhadap PdP guru. Namun, pada pandangan saya, murid-murid perlu diberi penekanan dari aspek disiplin dan adab belajar yang betul. Ada ketikanya, guru tidak dapat mengawal disiplin murid yang terlalu aktif. 
                 Selesai operasi penyeliaan, saya berjumpa kedua-dua guru berkenaan untuk memberi maklum balas hasil penyeliaan saya. Saya berkongsi sedikit sebanyak ilmu dan pengalaman mengajar, teknik mengawal murid di dalam kelas dan cara membina BBM yang sesuai. Saya juga memberi sedikit teguran dan cadangan bagi menambahbaik PdP mereka. 
                         Alhamdulillah, walaupun guru-guru itu muda dan terpelajar, mereka bersedia menerima teguran, nasihat dan tunjuk ajar daripada saya. Pada pandangan saya, guru-guru itu merupakan 'permata' yang perlu digilap oleh pentadbir sekolah dan dibimbing dengan penuh hikmah. Ini penting bagi mengangkat martabat guru-guru dan memacu kecemerlangan murid-murid berasaskan Al-Quran dan Sunnah.

Monday 2 May 2016

Pesta Ilmu

Tajuk     :  Catatan Harian
Teks       :  Rohani bt Sarmani

Entri 10

                     Alhamdulillah, dengan izinNya dapat saya kembali mencoret sedikit warna kehidupan di atas halaman ini. Terima kasih Allah kerana masih membenarkan kita meneruskan kehidupan dalam pentas dunia yang pelbagai ragam. Selawat dan salam atas Junjungan Besar Kekasih Allah yang dirindui Rasululullah s.a.w., kaum keluarga dan sahabat-sahabat baginda.
            Pada 1 Mei yang lalu, saya berkesempatan pergi ke Pesta Buku Antarabangsa yang diadakan di Maeps di Sedang. Ini merupakan pertama kali pesta buku diadakan di Maeps (tapak MAHA).  Sebenarnya, saya jarang mengunjungi pesta buku antarabangsa yang diadakan di PWTC disebabkan kesukaran mendapatkan tempat letak kereta dan kawasan pesta buku yang agak sesak. Tetapi, apabila mendapat tahu pesta buku akan diadakan di Maeps, berbunga hati untuk pergi bersama-sama suami dan anak.
          Kebetulan pada hari itu cuti umum maka ramailah orang mengunjungi pesta buku tanpa mengira bangsa, dewasa mahupun kanak-kanak. Siapa kata orang Malaysia malas membaca????? Banyak penerbit buku yang mengambil bahagian dalam pesta buku kali ini melebihi tahun lepas. Suasana di situ selesa dengan ruang laluan yang luas, tidak perlu berasak-asak atau bersinggung-singgung bahu untuk ke gerai-gerai jualan buku. Lebih santai dan memberi kesempatan untuk kita mengamati buku-buku yang hendak dibeli dengan tenang. Pihak penganjur menyediakan tiga dewan iaitu Dewan A, C dan D untuk penjualan buku.Kemudahan surau dan tandas terdapat di situ dan lebih mesra pengguna. Pihak urus setia juga sentiasa memberikan bantuan dan mudah untuk kita mendapatkan info tentang penerbit buku yang mengambil bahagian dalam pesta buku kali ini.
               Saya sekeluarga tidak dapat berada lama di situ kerana ada hal lain yang perlu dibereskan. Bagi menjimatkan masa, kami bertanya dengan urus setia tentang gerai syarikat buku yang kami ingin kunjungi. Kami sempat mengunjungi beberapa gerai seperti gerai Suhan Publications, PTS Publications, gerai Debook, gerai Penerbit Universiti dan beberapa lagi gerai. Sasaran saya ke pesta buku kali ini adalah untuk membeli buku terbitan Suhan Publications iaitu syarikat milik pelakon terkenal, Rosyan Nor. Suhan Publications baharu beberapa bulan ditubuhkan dan telah menerbitkan beberapa buah buku. Antaranya, buku mengenai liku-liku kehidupan Rosyam Nor sendiri sebagai anak setinggan Kampung Kerinchi yang berjaya mendaki puncak menjadi jutawan dan  dua buah buku Ustaz Datok Kazim Elias. Saya memang mencari buku mengenai liku-liku kehidupan Rosyam Nor untuk dijadikan sebagai inspirasi dan motivasi diri dan anak-anak. Buku ini baharu sahaja dilancarkan oleh Rosyam Nor sendiri.
                    Tidak puas rasanya kunjungan saya sekeluarga ke pesta buku kali ini sebab kesuntukan masa. Saya merancang untuk pergi lagi ke pesta buku pada hari Khamis ini sempena cuti Isra' dan Mikraj. Marilah beramai-ramai kita mengunjungi pesta buku antarabangsa bagi merealisasikan hidup sebagai bangsa yang berilmu dan bertamadun.