Friday 3 June 2016

Subuh Warriors

Tajuk      :  Catatan Pengalaman
Teks       :  Rohni bt Sarmani

Entri 17.

             Subhanallah, Segala puji dirakamkan ke hadrat Allah SWT, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi, Selawat dan salam atas Junjungan Besar Rasulullah SAW,  Kekasih Allah yang sangat kita rindui dan dambakan, kaum keluarga, para sahabat baginda dan seluruh muslimin dan muslimat yang dikasihi. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya ucapkan ke hadrat Ilahi kerana masih mengizinkan saya menelusuri kehidupan ini dengan penuh keinsafan dan rasa kelemahan diri. Semoga Allah sentiasa mendampingi kita setiap detik dan ketika.
            Pada kesempatan ini , saya ingin berkongsi satu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari. Hadisnya berbunyi begini: 
              "Syaitan mengikat tengkuk seseorang dengan tiga ikatan ketika ia tidur. Lalu, syaitan memukul tempat tiap ikatan pada tengkuk orang yang sedang tidur sambil berkata, "Tidurlah, kamu mempunyai malam yang cukup panjang." Apabila seseorang yang tidur itu bangun dan berzikir kepada Allah, lepaslah satu ikatan. Lalu, sekiranya ia berwudhu, maka terurailah satu ikatan lagi dan manakala ia solat, lepaslah ikatan terakhir hingga ia menjadi bersemangat dalam beribadah, terlepas segala ikatan  kesempitan jiwa dan terlindunglah daripada rasa malas."
                 Solat merupakan tiang agama dan amalan yang pertama akan disoal ketika kita berhadapan dengan Allah kelak. Tanpa menghidupkan solat dalam diri kita, tidak bermakna hidup kita di dunia ini dan jauh terasa hubungan dengan Allah. Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana memiliki kedua-dua ibu bapa yang sangat menjaga dan mengambil berat perihal solat anak-anak mereka.
          Masih segar dalam ingatan saya, bilamana kami adik-beradik diasuh untuk pergi solat berjamaah setiap waktu di surau yang berdekatan dengan tempat tinggal kami. Kami tidak digalakkan solat di rumah sebaliknya diwajibkan solat berjamaah di surau. Surau merupakan tempat kami bersolat dan bermain malahan surau sangat sinonim dengan kehidupan kami. Di suraulah tempat kami beribadah dan di surau jugalah tempat kami bermain serta bertemu dengan kawan-kawan.
               Pernah pada satu hari, saya terlewat bangun pagi sedangkan  adik-beradik saya telah balik dari mengerjakan solat Subuh di surau. Ibu menyuruh saya pergi juga ke surau walaupun telah selesai solat berjamaah. Saya takut untuk pergi ke surau seorang diri. Saya menangis sebagai jalan menyelamatkan diri tetapi ibu tetap berkeras menyuruh saya solat Subuh di surau. Kata ibu, sekiranya saya tidak solat di surau pada pagi itu, saya tidak dibenarkan pergi ke sekolah. Dengan linangan air mata, saya paksa juga diri ini ke surau dengan diiringi perasaan takut.
              Seusai solat Subuh, dengan mata yang masih merah dan bengkak kerana menangis saya pun bergegas ke sekolah. Ternyata saya lewat sampai ke sekolah. Ketika saya sampai ke sekolah, murid-murid telah masuk ke dalam bilik darjah. Saya segera meluru ke bilik darjah. Semasa dalam perjalanan ke bilik darjah, saya terserempak dengan guru besar. Guru Besar menyapa saya dan bertanya sebab mata saya merah dan bengkak. Saya memberitahu guru besar bahawa mata saya merah dan bengkak kerana saya menangis. Saya menceritakan serba sedikit perkara yang berlaku di rumah pagi tadi. Kemudian, saya segera masuk ke dalam bilik darjah.
                 Setelah meningkat remaja dan dewasa, saya dapati asuhan ibu dan bapa tentang solat banyak membantu saya agar menitikberatkan ibadah solat dan menjadi pembenteng daripada saya melakukan perkara-perkara dosa dan maksiat. Terima kasih ibu dan abah atas asuhan dan bimbingan ikhlas kalian. Semoga Allah menempatkan kalian dalam golongan hamba-hambaNya yang soleh dan solehah serta dinaungi dengan Rahmat Allah.
           

No comments:

Post a Comment