Wednesday 24 August 2016

Islam is first class

Tajuk  :    Catatan Harian
Teks    :   Rohani Sarmani

Entri   24

                 Assalamualaikum,
                Segala puji bagi Allah Tuhan Pemilik Alam. Selawat dan salam atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, kaum keluarga, para sahabat dan muslimin serta muslimat sekalian.
Alhamudulillah, pada pagi ini kita dihidangkan dengan cuaca yang redup, sejuk dan segar dek hujan lebat pada malam semalam dan awal pagi ini. Saya ingin menyambung bicara pada kali ini dengan slogan 'Islam is First Class'
                Kita sering mendengar slogan ini pada kaca Tv Hijrah kerana ini merupakan tagline utama bagi warga Tv Hijrah. Satu usaha yang sangat murni dicetuskan oleh Ceo Tv Hijrah dan ternyata berjaya mengubah budaya kerja dan sikap para pekerjanya.
               Sememangnya kita tidak pernah menyangkal akan keunggulan Islam sebagaimana yang telah Allah firmankan iaitu hanya Islam agama yang Allah iktiraf. Kita patut bersyukur dilahirkan sebagai orang Islam. Kita juga wajib berbangga dengan slogan "Islam is First Class". Namun, apakah hanya cukup berbangga dan berpuas hati dengan slogan tersebut?
               Sedangkan dalam setiap gerak kerja, kita sering bertangguh melakukannya, melaksanakan tugasan sambalewa dan sering mencari helah. Apa ertinya slogan tersebut sekiranya kitalah orang yang sering lambat datang ke tempat kerja? Apa maknanya slogan tersebut kalau kitalah orang yang selalu tidak menyiapkan buku rekod mengajar dengan sempurna sekiranya kita guru?
               Banyak dalam kalangan kita umat Islam yang hanya pandai berkata-kata, menyuruh orang lain berbuat baik sedangkan membenarkan diri terus terusan membina alasan demi alasan untuk tidak berbuat sesuatu dengan baik dan sempurna. Mengapakah kita membiarkan diri kita menjadi liabiliti kepada majikan kita? Mengapa kita sering mencetuskan masalah dan menjadi punca masalah di tempat kerja kita? Di situlah tempat kita mencari rezeki yang halal bagi memenuhi keperluan hidup dan menyara anak-anak serta keluarga. Sedangkan dalam benak, kita memperakui "Islam is First Class".
              Dalam pada itu, penghargaan saya berikan kepada insan-insan yang benar-benar melaksanakan "Islam is First Class" dalam amalan dan kehidupan seharian mereka. Mereka wajar diangkat sebagai contoh dan ikutan buat ummah yang semakin lesu dan dibuai keindahan duniawi yang melalaikan ini. Merekalah yang sepatutnya diberikan pengiktirafan dan menjadi model ummah masa kini. Bukannya individu-individu yang korup, yang mengingkari suruhan Allah mahupun yang sering mencabar keuasaan Allah yang sepatutnya dijadikan ikon atau ikutan.
              Renung-renungkanlah wahai ummah ..................buat persiapan kita bertemu llahi kelak.

Belajar terus belajar

Tajuk       :   Catatan Pengalaman
Teks         :   Rohani Sarmani

Entri  23

                     Lafaz mulia Assalamualaikum diucapkan sebagai pembuka kata setelah lama tidak berbicara. Segala puji dan puja bagi Allah, Pemilik Alam Semesta yang Maha Pemurah, Pengasih dan Penyayang. Selawat dan salam atas Junjungan Nabi Kekasih Allah, Nabi Muhammad saw. yang sangat dirindui, kaum keluarga, para sahabat dan seluruh muslimin serta muslimat.
                    Agak lama juga saya tidak menitipkan sesuatu dalam medan ini. Ingin memberikan alasan sibuk...orang lain pun sibuk juga. Akhirnya, saya akur akan kelemahan diri untuk tetap komited dengan tugasan yang diberi. Maaf dipinta.
                   Saya duduk seketika mengenangkan diri yang selama 26 tahun mengabdikan keringat, tenaga dan masa dalam alam pendidikan. Bukan sedikit yang saya tidak tahu sepanjang melayari bahtera pendidikan. Saya bermula daripada kosong, apatah lagi bidang pendidikan bukan minat saya. Bukan juga pilihan utama saya malah tidak pernah terlintas dalam benak ini untuk bergelar guru.
                   Namun, saat ketika saya ditakdirkan berada dalam bidang ini, saya memahatkan azam dan kesungguhan untuk menggali dan menggali ilmu pendidikan secara berterusan. Sama ada secara formal mahupun tidak formal.Saya tidak jemu-jemu belajar daripada guru-guru pakar, membaca, meneliti, mangamati dan berguru. Belajar terus belajar tanpa lelah dan jemu. Tujuan saya hanyalah satu iaitu melengkapkan diri dengan ilmu untuk mendidik anak bangsa dengan penuh dedikasi dan amanah.
                Prinsip hidup saya adalah apabila diberikan amanah, saya akan berusaha untuk menggalasnya dengan jayanya. Tidak ada istilah tidak tahu, susah mahupun bukan bidang saya. Ini adalah kerana setiap perkara yang ditakdirkan kepada kita oleh Allah, pastilah Allah telah mengetahui kemampuan kita untuk memikulnya. Allah tidak pernah menzalimi hambaNya atau membebankan hambaNya dengan tugasan yang tidak mampu dipikul. Diri kita sendiri yang selalu memandang rendah terhadap kemampuan kita. Kita sering tiada keyakinan diri dan tidak percaya terhadap kehebatan diri sendiri. Sedangkan Allah menciptakan kita sebagai sebaik-baik ciptaan, yang diamanahkan menjadi khalifah di muka bumi ini. Jadi, pastilah kita hamba Allah yang sangat unik, istimewa dan hebat pada mata Allah. Justeru, mengapa kita sendiri tidak mahu mengiktiraf kehebatan dan keistimewaan diri kita sendiri.
                 Marilah kita belajar dan terus belajar demi melengkapkan diri kita dengan ilmu walau dalam bidang apa yang kita ceburi. Cintailah bidang atau cabang pekerjaan yang dianugerahkan Allah buat kita. Bersyukurlah dengan kurniaan Allah ini kerana di luar sana lagi banyak manusia yang tiada pekerjaan atau punca rezeki yang tetap.

Tuesday 26 July 2016

Ajaibnya ciptaan Allah

Tajuk     :   Catatan Harian
Teks       :  Rohani Sarmani

Entri  22

               Syukur ke hadrat Allah, dapat kita bertemu pada kali ini. Segala puja dan puji dipanjatkan ke hadrat Allah, Yang Maha Pemurah, Pengasih dan Maha Penyayang. Selawat dan salam dirakamkan buat Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w,Kekasih Allah, yang sangat kita rindui dan kasihi, kaum kerabat baginda, para sahabat dan seluruh kaum muslimin serta muslimat.
              Ajaibnya ciptaan Allah.......ingin saya bicarakan sedikit tentang keajaiban otak manusia ciptaan Allah yang tiada tandingannya. Bersyukurlah kita dipilih menjadi insan muslim dan mukmin yang sentiasa menghargai pemberian Allah.
              Pada hari Sabtu yang lepas, saya berkesempatan menghadiri Majlis Konvokesyen Tahfiz STIFIn SRIIDU yang diadakan di Seremban. Saya berasa sangat terharu dan teruja keimanan apabila melihat di depan mata saya 18 murid dan 5 guru yang telah berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk Al Quran. Mereka mengambil masa antara 7 hingga 10 bulan untuk menghafaz Al Quran. Dalam usia yang muda seawal 9 tahun hingga 16 tahun, murid-murid ini berjaya menyerapkan Al Quran ke dalam jiwa mereka. Begitu juga kegigihan 5 orang guru yang berjaya menghafaz Al Quran. Kini, mereka bergelar sebagai Hafiz dan Hafizah. Sebelum ini , kita beranggapan bahawa untuk menghafaz Al Quran memerlukan jangka masa bertahun-tahun. Kadang kala kita berasa hairan apabila membaca atau mendengar tentang kehebatan ulama-ulama dahulu yang menghafaz Al Quran ketika usia kecil seperti Imam Syafie yang hafaz ketika berusia 6 tahun. Seolah-olah itu suatu situasi yang terpencil atau 'gifted'.
               Namun, kini ternyata sesiapa sahaja boleh berusaha menghafaz Al Quran dalam masa yang singkat. Betapa ajaib dan hebatnya ciptaan Allah iaitu otak yang dianugerahkan Allah kepada kita. Keupayaan menghafaz Al Quran dalam masa yang singkat dapat dilakukan apabila kita telah mengenali personaliti diri kita sendiri. Setiap manusia diberikan kekuatan personaliti yang tersendiri dan terpulanglah kepada kita untuk mempergunakannya. Suatu yang sangat malang apabila kita sendiri tidak mampu mengenali personaliti dan kekuatan diri kita sendiri lalu sering menyalahkan takdir atas sesuatu yang berlaku ke atas kita.
               Akhir-akhir ini, kita didedahkan dengan satu kaedah untuk mengenali personaliti diri kita sendiri. Kaedah ini dinamakan STIFIn Personaliti Profil di mana persoaliti seseorang diuji melalui pengambilan kesepuluh-sepuluh cap jari tangan kita. STIFIn Personaliti ini terbahagi kepada lima bahagian otak yang paling kerap digunakan iaitu Sensing, Thinking, Intuiting, Feeling dan Instinct. Melalui kekuatan dan keistimewaan personaliti inilah, mereka berjaya menghafaz Al Quran dalam jangka masa 7 hingga 10 bulan sahaja. Subhanallah.

Friday 22 July 2016

Ohhhhh, sejuknya!

Tajuk     :   Catatan Harian
Teks       :   Rohani Sarmani

Entri  21

             Ohhhhh, sejuknya! Itulah perkataan yang terpacul daripada mulut ini. Manakan tidak, hujan turun tak henti-henti pada hari ini sejak tengah hari tadi. Berkat hari Jumaat, penghulu segala hari. Katak pulak menyanyi sahut-menyahut memanggil hujan. Hujan renyai masih turun membasahi bumi bertuah ini. Semua makhluk di muka bumi ini menerima nikmatnya. Pokok-pokok tumbuh subur setelah disirami hujan. Begitu juga kolam-kolam takungan air dan sungai-sungai dipenuhi air hujan yang mencurah-curah turun.
             Air kolam di dalam bilik air rumah ibuku terlalu sejuk untuk dibuat mandi.Menggigil badan dibuatnya tika air kolam dicurahkan ke atas badan. Hendak menjerit rasanya. Terima kasih Allah, kerana dengan kasih sayangMu memberikan hujan kepada kami. Hujan memberikan banyak nikmat kepada kami. Namun, kekadang menjadi musibah kepada kami. Apapun, seharusnya kita mensyukuri semua pemberian Allah sama ada nikmat mahupun ujian. Itu semuanya tanda cinta dan kasih sayang Allah kepada kita.
            Suasana yang sejuk ini menjadikan perut berbunyi-bunyi, minta diisi. Mata pulak terbayang-bayangkan bantal dan tilam. Badan mulai lesu dan mata mengantuk. Kalau diikutkan hati, memang nak tidur saja. Mulut pulak asyik menguap-nguap. Otak mula malas untuk berfikir dan sering buntu. Idea menjadi beku.
           Nyamannya cuaca hari ini. Ohhhhh, sejuknya! Selapis baju yang membalut tubuh tidak mampu memanaskan badan. Masing-masing mencari 'sweater' untuk memanaskan badan. Ada juga yang memakai dua tiga lapis baju untuk menghindari kesejukan. Sekali-sekala, aku teringat akan nasib yang menimpa golongan gelandangan dan yang tidak bernasib baik. Tentu mereka kelaparan dan kesejukan sedangkan kita makan berkali-kali sehari. Tidur di atas tilam empuk, bantal yang gebu dan berselimut tebal..................
         
           

Sunday 19 June 2016

Rutin Puasa

Tajuk   :  Catatan Harian
Teks    :  Rohani Sarmani

Entri  20.

          Alhamdulillah, setinggi-tinggi ucapan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah kerana dengan limpah kurnia dan sifat Pemurah Allah, maka kita dapat terus hidup dalam suasana yang tenang, bahagia dan membahagiakan. Selawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, Kekasih Allah dan ikon yang sangat kita rindui dan dambakan syafaatnya. kaum keluarga baginda, para sahabat dan muslimin serta muslimat sekalian.
           Sebelum memulakan bicara pada petang yang redup ini, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan kepada hampir seminggu lebih saya tidak menukilkan sebarang bicara. Kesibukan dalam menjalini rutin puasa menghambat masa terluang saya untuk melontarkan kata-kata. Pada bulan Ramadhan ini, saya agak sibuk sedikit menyediakan bahan-bahan untuk jualan sebelum berbuka puasa.
       Seperti bulan Ramadhan yang lalu, suami saya akan berniaga di tepi bazar ramadhan berhampiran lokasi tempat tinggal kami. Aktiviti berniaga suami saya akan bermula selepas balik dari pejabat iaitu pada pukul 5.30 petang. Oleh hal yang demikian, saya perlu menyediakan hampir 200 hingga 300 cawan jeli kelapa pandan, karipap dan roti boom sejuk beku untuk jualan.Begitu juga, anak lelaki saya akan membuka gerai jualan jeli kelapa, karipap dan roti boom sejuk beku di hadapan rumah emak saya. Aktiiviti jualan ini dapat mendidik anak lelaki saya supaya lebih bersabar, memupuk keyakinan diri dan tawakal yang tinggi tentang rezeki serta pergantungan secara total kepada Allah swt.
             Saya memulakan operasi  mamasak jeli kelapa pandan ketika bersahur. Sambil bersahur saya menjerang air. Operasi ini akan berlangsung hinggalah pada pukul 9.00 pagi. Ini bermakna, saya dapat menghasilkan lebih kurang 200 cawan jeli kelapa pandan. Cuba bayangkan betapa mengantuknya mata ini........Selepas selesai, saya tidur sebentar sebelum bergegas untuk ke rumah emak bagi operasi seterusnya iaitu membuat karipap atau roti boom.. Dalam seminggu saya akan membuat karipap sebanyak tiga atau empat kali manakala roti boom sebanyak dua kali. 
             Pada sebelah malam pula, saya akan sekali lagi menjerang air dan membuat 100 cawan jeli kelapa pandan. Cuba bayangkan betapa penatnya diri ini hingga tidak sempat mengetuk huruf-huruf pada papan kekunci. Itu pun belum lagi mengambil kira membantu emak memasak hidangan berbuka puasa. Setiap tahun, saya sekeluarga akan berbuka puasa di rumah emak saya. Kekadang saya menyediakan tiga atau empat jenis hidangan. Sebagai contoh hari Rabu yang lalu, saya memasak emak jenis hidangan iaitu sambal tumis ikan bilis petai, pajeri nanas, spageti dan kuih onde-onde. Itu belum lagi dicampur dengan masakan emak dan adik saya. Kami memang menyediakan banyak jenis makanan kerana selalunya adik-beradik yang tinggal berhampiran akan datang ke rumah emak selepas solat tarawih dan menjamu selera. Kami tidak membeli makanan yang dijual di bazar Ramadhan kerana tidak 'kena; dengan selera dan tekak kami.
              Begitulah antara rutin puasa yang saya lalui saban tahun. Kekadang memenatkan dan adakalanya menyeronokkan.


Selamat Menyusuri Ramadhan Karim dengan penuh bersemangat dan diisi dengan pelbagai amal kebaikan yang dapat menambah gedung pahala kita.

Sunday 12 June 2016

Aduh, penatnya 2 !

Tajuk      :   Catatan Harian
Teks       :   Rohani bt Sarmani

Entri 19.

                 Alhamdulullah, bertemu kembali dalam arena penulisan blog. Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat dan pemeliharaan Allah hendaknya. Tak lupa dalam apa jua situasi untuk kita sama-sama membesarkan Keagungan Allah dengan memuja dan memuji Allah serta sentiasa mengharapkan kasih sayang Nya. Selawat dan salam atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. kekasih Allah yang sangat kita kasihi dan rindukan, kaum keluarga, para sahabat baginda dan muslimin serta muslimat sekalian.
          Saya ingin menyambung sedikit lagi mengenai perjalanan hidup seharian yang telah diceritakan dalam entri terdahulu. Pada hari Jumaat yang lalu, saya berkesempatan menyampaikan dua slot ceramah pendidikan kepada guru-guru yang mengikuti kursus guru di sebuah sekolah Islam swasta. Tajuk slot saya pada hari itu ialah Pengurusan Bilik Darjah yang Berkesan dan Pengurusan Disiplin Murid di dalam Bilik Darjah. 
               Pengisian ceramah tersebut selain saya penuhkan dengan maklumat mengenai konsep, model disiplin dan dapatan kajian yang berkaitan, juga saya selitkan sedikit sebanyak pengalaman saya dalam menguruskan bilik darjah dan disiplin murid-murid. Saya imbau kembali pengalaman saya semasa menjadi guru penolong kanan hal ehwal murid dan guru besar. saya ceritakan kepada para peserta mengenai cara saya mendapat ilmu untuk mentadbir, membimbing dan menjalankan tugasan yang diamanahkan. 
                 Dahulu, saya mempunyai seorang gruu besar yang sangat tegas, menjaga imej dan dedikasi kerja yang 'tip top'. Pantang ada sedikit silap atau alpa, pasti saya akan dimarahi atau diberi teguran. Saya dididik seperti cara orang-orang tua dulu, tiada kata-kata pujian yang dihidangkan tetapi sering dimarahi sekiranya melakukan kesilapan. Pandai-pandailah kita memerhati dan meneliti cara kerja guru besar sekiranya hendak mendapat ilmu daripada beliau.
                  Berbalik kepada slot ceramah saya pada hari itu, Alhamdulillah, respons daripada para pesrta sangat baik. Mereka memberikan perhatian terhadap ceramah saya walaupun masing-masing penat kerana berpuasa .Apatah lagi saya yang mengisi slot ceramah selama hampir empat jam lebih. Aduh, penat tidak terkira namun semangat untuk berkongsi ilmu dan pengalaman mengatasi segala kepenatan yang kunjung tiba. Saya berasa bangga dengan para peserta kerana walaupun diberikan rehat selama tiga puluh minit tetapi mereka tetap meneruskan perbincangan bengkel yang ditugaskan kepada mereka. Sesungguhnya, sekiranya para peserta dibimbing secara berterusan, pasti mereka akan menjadi guru-guru yang hebat dan super. 
                        Kalau  hendak diikutkan memang saya berasa sangat penat setelah dua hari (8 Jam) menyampaikan ceramah pendidikan. Namun, saya berasa sangat puas hati kerana dapat berkongsi ilmu dan pengalaman dengan para peserta. Saya berharap apabila sesi persekolahan dibuka semula pada minggu hadapan, para peserta akan lebih bersemangat untuk menjalankan tugas sebagai pendidik dengan visi, misi dan pendekatan yang lebih jelas dan progresif.

Thursday 9 June 2016

Aduh,penatnya!

Tajuk   :  Catatan Harian
Teks    :  Rohani bt Sarmani

Entri 18

           Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar. Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam, yang sentiasa bersifat Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat Junjungan Besar Kekasih Allah, Rasulullah S.A.W. yang sangat kita rindui dan dambakan, kaum keluarga baginda, para sahabat dan muslimin serta muslimat sekalian.
             Ketemu kita kali ini dalam suatu suasana yang sangat indah dan penuh dengan keberkatan. Di mana segala kerja buat dan gerak laku kita mengundang pahala yang besar buat diri kita. Betapa AgungNya Allah dengan sifatNya, sentiasa mengurniakan kita dengan kurniaan yang begitu besar iaitu Ramadhan Karim. Bulan di mana segalanya menjadi ibadah sama ada tidur, diam mahupun berkata-kata. 
             Namun, biasalah kita sebagai manusia biasa, yang imannya turun naik pasti kita berasa penat, letih, lesu dan lapar ketika mengharung ibadah puasa. Maka, terbitlah keluhan "Aduh, penatnya!". Kekadang keluhan itu bukanlah tanda kita tidak bersyukur tetapi sekadar ingin melepaskan apa yang terbuku dalam hati. Keluhan yang tidak membawa apa-apa makna kerana kita sedar bahawa pada bulan Ramadhan inilah kita perlu sentiasa memotivasikan diri kita, menjadi insan yang lebih kuat dan gigih. Pada bulan Ramadhan inilah kita perlu berlumba-lumba memenuhkan 'kantung' kita dengan pahala dan amal ibadah bukannya dengan makanan yang banyak hingga memudharatkan diri sendiri.
               Kita perlu mengambil iktibar berdasarkan sirah Rasulullah S.A.W. di mana pada bulan yang mulia ini banyak berlakunya peperangan menentang kuffar. Para sahabat pada zaman Rasulullah S.A.W. menjadi lebih kuat dan bersemangat mempertahankan kesucian agama pada bulan ini.
                Pada hari ini juga, saya berasa agak penat kerana baharu lepas menyampaikan slot ceramah selama 4 jam dalam kursus guru anjuran sebuah sekolah swasta Islamdi Seremban. Manakala, esok hari saya ada lagi 4 jam slot ceramah pendidikan dengan guru-guru sekolah tersebut. Sesuatu yang sungguh menyeronokkan apabila dapat berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman mengajar dengan guru-guru. Namun, rasa penat tetap menjengah diri yang semakin dimamah usia, kudrat yang semakin tua ini tidak mampu menandingi tenaga dan kekuatan ketika muda dahulu. Begitulah fitrah alam. Walaupun demikian, saya menganggap semua itu asam garam yang mewarnai kehidupan kita.

Friday 3 June 2016

Subuh Warriors

Tajuk      :  Catatan Pengalaman
Teks       :  Rohni bt Sarmani

Entri 17.

             Subhanallah, Segala puji dirakamkan ke hadrat Allah SWT, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi, Selawat dan salam atas Junjungan Besar Rasulullah SAW,  Kekasih Allah yang sangat kita rindui dan dambakan, kaum keluarga, para sahabat baginda dan seluruh muslimin dan muslimat yang dikasihi. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya ucapkan ke hadrat Ilahi kerana masih mengizinkan saya menelusuri kehidupan ini dengan penuh keinsafan dan rasa kelemahan diri. Semoga Allah sentiasa mendampingi kita setiap detik dan ketika.
            Pada kesempatan ini , saya ingin berkongsi satu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari. Hadisnya berbunyi begini: 
              "Syaitan mengikat tengkuk seseorang dengan tiga ikatan ketika ia tidur. Lalu, syaitan memukul tempat tiap ikatan pada tengkuk orang yang sedang tidur sambil berkata, "Tidurlah, kamu mempunyai malam yang cukup panjang." Apabila seseorang yang tidur itu bangun dan berzikir kepada Allah, lepaslah satu ikatan. Lalu, sekiranya ia berwudhu, maka terurailah satu ikatan lagi dan manakala ia solat, lepaslah ikatan terakhir hingga ia menjadi bersemangat dalam beribadah, terlepas segala ikatan  kesempitan jiwa dan terlindunglah daripada rasa malas."
                 Solat merupakan tiang agama dan amalan yang pertama akan disoal ketika kita berhadapan dengan Allah kelak. Tanpa menghidupkan solat dalam diri kita, tidak bermakna hidup kita di dunia ini dan jauh terasa hubungan dengan Allah. Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana memiliki kedua-dua ibu bapa yang sangat menjaga dan mengambil berat perihal solat anak-anak mereka.
          Masih segar dalam ingatan saya, bilamana kami adik-beradik diasuh untuk pergi solat berjamaah setiap waktu di surau yang berdekatan dengan tempat tinggal kami. Kami tidak digalakkan solat di rumah sebaliknya diwajibkan solat berjamaah di surau. Surau merupakan tempat kami bersolat dan bermain malahan surau sangat sinonim dengan kehidupan kami. Di suraulah tempat kami beribadah dan di surau jugalah tempat kami bermain serta bertemu dengan kawan-kawan.
               Pernah pada satu hari, saya terlewat bangun pagi sedangkan  adik-beradik saya telah balik dari mengerjakan solat Subuh di surau. Ibu menyuruh saya pergi juga ke surau walaupun telah selesai solat berjamaah. Saya takut untuk pergi ke surau seorang diri. Saya menangis sebagai jalan menyelamatkan diri tetapi ibu tetap berkeras menyuruh saya solat Subuh di surau. Kata ibu, sekiranya saya tidak solat di surau pada pagi itu, saya tidak dibenarkan pergi ke sekolah. Dengan linangan air mata, saya paksa juga diri ini ke surau dengan diiringi perasaan takut.
              Seusai solat Subuh, dengan mata yang masih merah dan bengkak kerana menangis saya pun bergegas ke sekolah. Ternyata saya lewat sampai ke sekolah. Ketika saya sampai ke sekolah, murid-murid telah masuk ke dalam bilik darjah. Saya segera meluru ke bilik darjah. Semasa dalam perjalanan ke bilik darjah, saya terserempak dengan guru besar. Guru Besar menyapa saya dan bertanya sebab mata saya merah dan bengkak. Saya memberitahu guru besar bahawa mata saya merah dan bengkak kerana saya menangis. Saya menceritakan serba sedikit perkara yang berlaku di rumah pagi tadi. Kemudian, saya segera masuk ke dalam bilik darjah.
                 Setelah meningkat remaja dan dewasa, saya dapati asuhan ibu dan bapa tentang solat banyak membantu saya agar menitikberatkan ibadah solat dan menjadi pembenteng daripada saya melakukan perkara-perkara dosa dan maksiat. Terima kasih ibu dan abah atas asuhan dan bimbingan ikhlas kalian. Semoga Allah menempatkan kalian dalam golongan hamba-hambaNya yang soleh dan solehah serta dinaungi dengan Rahmat Allah.
           

Wednesday 25 May 2016

Idea....idea....

Tajuk    :  Catatan Harian
Teks     :  Rohani bt Sarmani

Entri 16.

                      Salam ukhuwah buat rakan-rakan seperjuangan. Agak lama juga saya tidak menulis, lebih kurang seminggu lebih. Bukannya apa cuma kekeringan idea untuk menulis. Pada hari ini pun saya tidak punya isu khusus untuk dikongsikan. Sekadar santai-santai sahaja.
                      Sejak akhir-akhir ini saya mulai sibuk dengan beberapa tugas yang perlu dilangsaikan serentak. Pada akhir bulan lepas, saya telah dilantik untuk menganggotai satu jawatankuasa pembangunan staf di Sekolah A. Fungsi jawatankuasa tersebut adalah menyelia dan memacu kecemerlangan guru-guru sekolah A. Selain itu, berusaha menjana program dan kursus yang bersesuaian mengikut keperluan semasa guru.
                     Pada pertengahan bulan Mei pula, saya telah dilantik menjadi guru mentor di sekolah tersebut untuk jangka masa lima bulan. Mungkin pihak pentadbir ingin melihat terlebih dahulu prestasi saya sebelum menawarkan kontrak yang lenih lama lagi. Namun, saya tidak kisah. Apa yang penting, saya perlu menggalas amanah yang ditugaskan kepada saya dengan bersungguh-sungguh. Fungsi saya di sekolah tersebut sebagai guru mentor adalah untuk memberi khidmat bimbingan, nasihat dan tunjuk ajar kepada pihak pengurusan sekolah, guru-guru  dan kecemerlangan murid-murid.
                     Walaupun saya sudah biasa dengan rutin mentadbir dan mengajar namun saya perlu juga menyesuaikan pendekatan saya dengan situasi dan realiti di sekolah tersebut. Saya perlu berhati-hati dan lebih kreatif dalam memimpin dan membimbing mereka. Maklumlah, tempat baharu. Bagi memulakan tugas ini saya diminta membimbing guru penolong kanan akademik melaksanakan peranannya. Sebagai langkah pertama, saya mulakan dengan meminta GPK Akademik menyediakan jadual penyeliaan PdP guru untuk saya cerap. Setakat hari ini saya telah menyelia enam orang guru. Rata-rata mereka berpotensi cuma perlu diberi pendedahan dari aspek kaedah dan teknik PdP  dengan lebih berkesan.
                     Selain itu, saya membantu ketua sektor pembangunan profesionalisme guru untuk menjana program atau kursus guru serta aktiviti yang perlu dilaksanakan. Memandangkan Sekolah A merupakan sekolah yang baharu tumbuh maka banyak perancangan pendidikan yang perlu dirancang secara berkala bagi melonjakkan kecemerlangan guru dan murid-murid. Saya perlu menjana pelbagai idea untuk dicadangkan kepada pihak pentadbir sekolah berkenaan. Namun, tugasan asasi saya sebagai pembuat karipap frozen, roti boom dan jeli kelapa pandan tetap saya galas.

Semoga bertemu lagi pada lain lembaran. Salam ukhuwah penuh kasih sayang buat kalian semua.

Monday 16 May 2016

Selamat Hari Guru

Tajuk    :  Jurnal Seorang Guru
Teks     :  Rohani bt Sarmani

Entri 15.

               Segala puja dan puji dipanjatkan ke hadrat Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Salawat dan salam dirakamkan buat Junjungan Besar Rasulullah S.A.W., Kekasih Allah,Penghulu segala Nabi dan Rasul, kaum keluarga, sahabat-sahabat baginda dan seluruh kaum muslimin dan muslimat. Alhamdulillah, diucapkan kerana saya masih diberi peluang dan ruang serta sedikit idea untuk menulis coretan pada kali ini.
            Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan "Selamat Hari Guru" - Guru Pembina Negara Bangsa kepada warga guru. Setiap tahun kita akan menyambut Hari Guru dengan pelbagai tema yang silih berganti. Saat inilah yang sangat-sangat dinanti-nantikan oleh warga guru dan perasaan terharu pantas menerjah setiap kali ucapan Selamat Hari Guru diucapkan oleh murid-murid kepada guru-guru.Tanpa mengira murid yang baik, bijak, pintar mahupun nakal berebut-rebut mengucapkan Selamat Hari Guru kepada guru-guru mereka.  Setiap kali itu jugalah para guru dihadiahkan buah tangan oleh murid-murid sebagai tanda terima kasih dan menghargai jasa guru. 
                 Namun, bukanlah sangat hadiah yang didambakan atau diinginkan oleh para guru daripada anak-anak didik mereka.Setiap guru akan berasa bahagia dan hilang segala penah lelah mendidik sekiranya anak-anak didik mereka berjaya, berakhlak mulia dan menjadi insan berguna kepada agama, masyarakat dan negara. Begitu jugalah dengan diri saya, bahagian dan gembira melihat kejayaan anak-anak murid.
                   Semasa saya masih berkhidmat di sekolah, sambutan Hari Guru disambut dengan meriah oleh guru dan staf . Banyak acara yang diadakan pada hari tersebut. Acara yang paling dinanti-nantikan oleh setiap guru dan staf adalah acara bertukar-tukar hadiah sesama guru dan staf. Setiap guru dan staf diminta memperuntukkan sebanyak RM30 untuk membeli hadiah dan hadiah tersebut akan ditukarkan dengan rakan guru dan staf yang telah terpilih. Pilihan pula dibuat dengan cara setiap guru dan staf akan 'mencabut' undi nama guru dan staf yang disediakan. Acara ini sangat melucukan dan menimbulkan suasana yang meriah dalam kalangan guru dan staf. 
                 Sebagai guru besar ketika itu, setiap kali Hari Guru saya akan memperuntukkan sebanyak RM150 untuk membeli hadiah kepada guru yang terpilih menerima hadiah daripada saya. Bukanlah untuk menunjuk-nunjuk tetapi sebagai menghargai rakan guru dan staf yang bersama-sama saya memajukan sekolah. Memang ketika itu masing-masing berdoa agar terpilih mendapat hadiah daripada saya. Saya akan berasa bahagia apabila melihat guru-guru gembira dan ceria. Kegembiraan dan keceriaan gurulah yang akan mampu menerbitkan aura dan kekuatan dalaman guru dalam mendidik anak-anak didik pada zaman yang sangat mencabar ini.
                       Walaupun saya tidak lagi berada di sekolah mendidik murid-murid, namun setiap kali tibanya Hari Guru, memori dan kenangan indah semasa bergelar guru di sekolah acap kali memenuhi ruang ingatan saya.

Friday 13 May 2016

Cari bahan

Tajuk       :   Catatan Harian
Teks        :   Rohani bt Sarmani

Entri 14.

                 Pagi ini saya mengosongkan aktiviti harian membuat karipap dan roti boom. Saya ingin rehatkan sebentar tangan yang menari-nari menguli tepung mengikut rentak yang diatur. Penat juga setelah berhari-hari menguli tepung. Maka, hari ini saya hendak alihkan jari-jari ini untuk menari di atas papan kekunci laptop mencari bahan-bahan rujukan . Pada hari ini saya sedang gigih menyediakan bahan untuk ceramah pendidikan.
                Insya Allah, pada minggu pertama cuti semester nanti, saya diberikan tugas untuk menyampaikan satu slot ceramah pendidikan kepada guru-guru sekolah A. Bukannya pandai sangat berceramah tapi sekadar berbual-bual dan melontarkan idea serta pengalaman silam semasa menjadi guru satu ketika dahulu.
                Tajuk ceramah yang akan saya sampaikan ialah Pengurusan Tingkah Laku Murid Di Dalam Bilik Darjah dan Pengurusan Bilik Darjah Yang Berkesan. Berat juga tajuk ini apatah lagi bahan yang hendak disediakan banyak. Jadi, saya perlu bijak mengolah isi-isi bahan agar tidak membosankan para peserta. Mata pulak mengantuk setelah perut penuh diisi pagi tadi dengan roti bakar dan mi sup. Tetapi, saya gagahkan juga diri untuk tidak kalah dengan mata yang minta ditidurkan.
                Ini sahajalah masa yang boleh saya peruntukkan untuk mencari bahan-bahan ceramah. Oleh itu, saya tidak boleh mengikut kemahuan mata. Saya perlu terus berjuang melawan rasa mengantuk dengan pelbagai cara tersendiri.
                Berdasarkan pengalaman saya semasa di sekolah dahulu, saya perhatikan pengurusan bilik darjah kurang diberikan perhatian oleh guru-guru. Mungkin disebabkan kesibukan guru-guru dengan minit mengajar yang banyak. Mereka perlu menyediakan bahan-bahan pengajaran sebelum masuk ke dalam bilik darjah. Namun begitu,sebenarnya sehebat mana pun guru atau secanggih mana pun bahan PdP yang disediakan, akan menjadi tidak berkesan sekiranya bilik darjah dan murid-murid tidak diurus dengan baik. Pengurusan bilik darjah yang berkesan melibatkan beberapa aspek. Antaranya, ciri-ciri peribadi guru sebagai pengurus bilik darjah, rutin dan peraturan bilik darjah, iklim bilik darjah dan hubungan antara aspek pengurusan dan pengajaran.
                  Semasa menjadi guru besar, saya sempat menjalankan tugas penyeliaan PdP guru dan pengurusan bilik darjah. Saya mendapati banyak aspek yang perlu ditambah baik dalam hal berkaitan dengan pengurusan bilik darjah. Pengurusan bilik darjah yang berkesan akan mewujudkan situasi yang kondusif dan ceria. Secara tidak langsung, tingkah laku murid-murid juga boleh dikawal dan sentiasa berada pada tahap yang baik.  Akhir sekali, PdP guru menjadi berkesan dan murid-murid mendapat manfaat yang banyak.
                  Sampai di sini sahaja. Selamat Hari Guru kepada warga guru yang menabur jasa tanpa jemu demi melahirkan generasi ummah yang gemilang, cemerlang dan terbilang.
             

Wednesday 11 May 2016

Tajuk     :   Catatan Harian
Teks      :    Rohani bt Sarmani

Entri 13

                   Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana saya masih mampu untuk bangun pagi, menghirup udara segar sambil mengucap syukur ke hadrat Allah. Pada hari ini saya ada beberapa tugasan yang perlu dibereskan dengan teratur. Selepas selesai solat Subuh, saya terus ke dapur kerana pada pagi ini saya perlu menguli tepung gandum untuk membuat roti boom. Saya meminta suami pergi ke restoran untuk membeli roti canai dan nasi lemak.
                  Sementara menunggu suami balik dari restoran, saya menguli tepung gandum hingga menjadi doh roti boom. Selesai sahaja tugasan tersebut, saya bersarapan dengan suami. Kami tinggal berdua sahaja sebab anak-anak masih belajar di universiti dan bekerja. Memang sunyi apabila tinggal berdua. Apa tah lagi kalau suami pergi kerja. Tetapi, takpa, pandai-pandailah kita isikan masa dengan melakukan perkara yang berfaedah.
                  Selesai sarapan, saya bersiap-siap untuk keluar kerana pada pagi ini saya ada janji temu dengan seseorang di sekolah A. Janji temu itu kami manfaatkan sepenuhnya dengan berbincang mengenai PdP guru, isu-isu berkaitan kecemerlangan sekolah dan perancangan kursus guru yang akan diadakan pada cuti semester nanti. Saya kalau diajak berbicara mengenai perancangan sekolah dan guru, memang tidak pernah kering idea. Ada-ada sahaja idea yang mencurah-curah datang. Itulah tanda betapa cintanya saya akan dunia pendidikan.
                    Jam dinding menunjukkan pukul 12.00 tengah hari. Saya meminta izin untuk balik ke rumah. Sesampai di rumah emak, saya berehat sebentar dan makan tengah hari. Seusai solat Zuhur, saya mencanai roti boom yang telah saya perap dengan minyak kelapa pagi tadi. Kemudian, saya melelapkan mata barang sebentar kerana selepas Asar saya ada kelas tuisyen Bahasa Melayu tahun 6. Kelas tuisyen saya bermula pada pukul 5.00 petang dan berakhir pada pukul 7.00 malam. 
                     Kemudian, saya perlu bergegas pulang ke rumah sebelum malam menjelma. Pada malam ini saya keseorangan di rumah kerana suami saya bekerja shift petang sepanjang minggu ini. Duduklah saya seorang diri ditemani dengan peti televisyen yang bersiaran. Malam ini saya hendak menonton program Akademik Silat Pendekar Muda terbitan TVHijrah yang menjadi fenomena dalam kalangan anak-anak muda kini.Insya Allah, mulai minggu hadapan saya tidak akan keseorangan pada waktu malam menunggu suami pulang dari pejabat kerana anak bujang saya akan mula bekerja di sebuah kilang di Seremban. Adalah kawan untuk saya berbual-bual dan berleter. Terima kasih Allah.

Tuesday 10 May 2016

Pesta Ilmu Lagi

Tajuk    :  Catatan Harian
Teks      :  Rohani bt Sarmani

Entri 12

             Hari Ahad yang lepas (8 Mei), saya sekeluarga sekali lagi mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Maeps. Ini merupakan kunjungan kedua kami ke sana. Tidak puas rasanya semasa pergi buat pertama kali. Tidak banyak gerai buku yang dapat kami kunjungan disebabkan kesuntukan masa.
           Kali ini saya berasa puas hati kerana dapat berada lebih lama di pesta buku. Selain mencari buku-buku untuk diri sendiri, saya dan suami menemani anak-anak memilih buku-buku yang sesuai untuk mereka. Mereka menggunakan voucher buku untuk membeli buku-buku pilihan mereka. Kami sempat berkunjung di gerai buku Dewan Bahasa dan Pustaka, PTS Publications, MPH Publications, Pustaka Cahaya Kasturi milik Sahibul Samahah Datuk Dr Zulkifli Al Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan, Suhan Publications milik pelakon terkenal Rosyam Nor, Dubook dan beberapa gerai lagi.
           Pesta buku kali ini sangat memuaskan hati kami para pengunjung disebabkan venue yang disediakan selesa dan luas di mana tiga buah dewan disediakan untuk pesta buku(Dewan A,C dan D), Shuttle bus juga disediakan oleh pihak penganjur untuk mengangkut para pengunjung ke dewan pesta buku. Kami berasa lebih selesa dan tidak penat kerana dapat menaiki pengangkutan yang disediakan memandangkan dewan-dewan pesta buku terletak di kawasan yang agak tinggi. Penat juga kalau berjalan kaki.
           Selain daripada itu, kemudahan tempat solat yang disediakan juga lebih luas dan selesa. Para pengunjung yang lapar boleh menjamu selera di gerai-geari makanan yang disediakan di luar dewan. Pihak penganjur juga menyediakan urus setia di setiap pintu masuk dan keluar dewan bagi memudahkan para pengunjung mendapatkan makluman mengenai lokasi gerai dan beberapa maklumat lain.
             Cuma, satu perkara yang kami tidak puas hati kerana masa beroperasi pesta buku itu berakhir pada pukul 9.00 malam pada hari  Sabtu dan Ahad. Manakala pada hari Isnin hingga Jumaat,pula pada pukul 7.00 malam. Pada pandangan kami, peruntukan masa yang diberi tidak mencukupi untuk para pengunjung memilih dan membeli buku. Memandangkan pesta buku ini hanya setahun sekali diadakan, apalah salahnya kalau dipanjangkan sedikit masa beroperasinya hingga pukul 10.00 malam. Apatah lagi, inikan pesta buku antarabangsa. Harap hal ini dapat difikir-fikirkan oleh pihak penganjur pada lain masa.

Wednesday 4 May 2016

Berkongsi pengalaman

Tajuk     :   Catatan Harian
Teks      :   Rohani bt. Sarmani

Entri 11

                 Petang semalam pada pukul 2.00 petang, saya ada janji temu dengan gpk akademik sekolah A. Kami berdua akan menjalankan penyeliaan PdP guru di dalam kelas. Kami memilih dua guru untuk diselia. Kedua-duanya guru lelaki. Seorang mengajar subjek Sains Tahun 1 manakala seorang lagi mengajar subjek Tilawah Al-Quran Tahun 2. Penyeliaan PdP guru berlangsung antara pukul 2.00 hingga 3.40 petang.
                   Hampir lebih empat tahun saya telah meninggalkan tugas menyelia PdP guru di dalam kelas. Dulu, semasa saya menjadi guru besar, setiap minggu saya akan menyelia PdP guru di dalam kelas. Pelbagai ragam guru dan murid-murid yang dapat saya lihat semasa menjalankan operasi penyelian itu. Kekadang, ada juga guru yang kantoi kerana tidak menyiapkan rancangan pelajaran harian ketika saya membuat penyeliaan 'mengejut.' Masak cikgu itu saya bagi 'lecture'.Taubat 'lahum' cikgu itu, tak akan mengulangi kesilapan lalu.
                       Berbalik kepada operasi penyeliaan yang saya jalankan semalam. Banyak perkara yang boleh dipelajari dan ditambahbaik dalam proses meningkatkan kecemerlangan PdP guru. Terbit juga rasa kasihan apabila melihat guru-guru yang diselia mengajar bersungguh-sungguh tetapi tidak menepati objektif dan hasil pembelajaran yang digariskan. Murid-murid pula sangat aktif memberikan respons terhadap PdP guru. Namun, pada pandangan saya, murid-murid perlu diberi penekanan dari aspek disiplin dan adab belajar yang betul. Ada ketikanya, guru tidak dapat mengawal disiplin murid yang terlalu aktif. 
                 Selesai operasi penyeliaan, saya berjumpa kedua-dua guru berkenaan untuk memberi maklum balas hasil penyeliaan saya. Saya berkongsi sedikit sebanyak ilmu dan pengalaman mengajar, teknik mengawal murid di dalam kelas dan cara membina BBM yang sesuai. Saya juga memberi sedikit teguran dan cadangan bagi menambahbaik PdP mereka. 
                         Alhamdulillah, walaupun guru-guru itu muda dan terpelajar, mereka bersedia menerima teguran, nasihat dan tunjuk ajar daripada saya. Pada pandangan saya, guru-guru itu merupakan 'permata' yang perlu digilap oleh pentadbir sekolah dan dibimbing dengan penuh hikmah. Ini penting bagi mengangkat martabat guru-guru dan memacu kecemerlangan murid-murid berasaskan Al-Quran dan Sunnah.

Monday 2 May 2016

Pesta Ilmu

Tajuk     :  Catatan Harian
Teks       :  Rohani bt Sarmani

Entri 10

                     Alhamdulillah, dengan izinNya dapat saya kembali mencoret sedikit warna kehidupan di atas halaman ini. Terima kasih Allah kerana masih membenarkan kita meneruskan kehidupan dalam pentas dunia yang pelbagai ragam. Selawat dan salam atas Junjungan Besar Kekasih Allah yang dirindui Rasululullah s.a.w., kaum keluarga dan sahabat-sahabat baginda.
            Pada 1 Mei yang lalu, saya berkesempatan pergi ke Pesta Buku Antarabangsa yang diadakan di Maeps di Sedang. Ini merupakan pertama kali pesta buku diadakan di Maeps (tapak MAHA).  Sebenarnya, saya jarang mengunjungi pesta buku antarabangsa yang diadakan di PWTC disebabkan kesukaran mendapatkan tempat letak kereta dan kawasan pesta buku yang agak sesak. Tetapi, apabila mendapat tahu pesta buku akan diadakan di Maeps, berbunga hati untuk pergi bersama-sama suami dan anak.
          Kebetulan pada hari itu cuti umum maka ramailah orang mengunjungi pesta buku tanpa mengira bangsa, dewasa mahupun kanak-kanak. Siapa kata orang Malaysia malas membaca????? Banyak penerbit buku yang mengambil bahagian dalam pesta buku kali ini melebihi tahun lepas. Suasana di situ selesa dengan ruang laluan yang luas, tidak perlu berasak-asak atau bersinggung-singgung bahu untuk ke gerai-gerai jualan buku. Lebih santai dan memberi kesempatan untuk kita mengamati buku-buku yang hendak dibeli dengan tenang. Pihak penganjur menyediakan tiga dewan iaitu Dewan A, C dan D untuk penjualan buku.Kemudahan surau dan tandas terdapat di situ dan lebih mesra pengguna. Pihak urus setia juga sentiasa memberikan bantuan dan mudah untuk kita mendapatkan info tentang penerbit buku yang mengambil bahagian dalam pesta buku kali ini.
               Saya sekeluarga tidak dapat berada lama di situ kerana ada hal lain yang perlu dibereskan. Bagi menjimatkan masa, kami bertanya dengan urus setia tentang gerai syarikat buku yang kami ingin kunjungi. Kami sempat mengunjungi beberapa gerai seperti gerai Suhan Publications, PTS Publications, gerai Debook, gerai Penerbit Universiti dan beberapa lagi gerai. Sasaran saya ke pesta buku kali ini adalah untuk membeli buku terbitan Suhan Publications iaitu syarikat milik pelakon terkenal, Rosyan Nor. Suhan Publications baharu beberapa bulan ditubuhkan dan telah menerbitkan beberapa buah buku. Antaranya, buku mengenai liku-liku kehidupan Rosyam Nor sendiri sebagai anak setinggan Kampung Kerinchi yang berjaya mendaki puncak menjadi jutawan dan  dua buah buku Ustaz Datok Kazim Elias. Saya memang mencari buku mengenai liku-liku kehidupan Rosyam Nor untuk dijadikan sebagai inspirasi dan motivasi diri dan anak-anak. Buku ini baharu sahaja dilancarkan oleh Rosyam Nor sendiri.
                    Tidak puas rasanya kunjungan saya sekeluarga ke pesta buku kali ini sebab kesuntukan masa. Saya merancang untuk pergi lagi ke pesta buku pada hari Khamis ini sempena cuti Isra' dan Mikraj. Marilah beramai-ramai kita mengunjungi pesta buku antarabangsa bagi merealisasikan hidup sebagai bangsa yang berilmu dan bertamadun.
   

Wednesday 27 April 2016

Murid ooooo Murid

Tajuk     :   Catatan Pengalaman
Teks      :    Rohani bt Sarmani

Entri 9.

                      Pada suatu pagi, kira-kira jam 4.00 pagi saya dikejutkan oleh deringan telefon bimbit saya. Ketika itu saya sedang tidur dengan nyenyaknya. Saya menjawab panggilan telefon itu.Warden asrama puteri sekolah saya, Cikgu Ayu (bukan nama sebenar) menelefon saya rupanya. Cikgu Ayu memaklumkan kepaada saya bahawa tiga murid asrama lelaki ditahan di balai polis.Saya agak terkejut. Saya meminta Cikgu Ayu menelefon guru besar untuk menjamin ketiga-tiga murid berkenaan.
                      Seperti biasa saya sampai di sekolah pada pukul 7.25 pagi. Guru Besar memanggil saya dan meminta saya menyelesaikan masalah tiga murid yang ditahan di balai polis tadi. Selaku guru penolong kanan hal ehwal murid, saya akur dengan tugasan yang diberi. Kebetulan ketiga-tiga  murid itu berada di dalam bilik guru besar. Tanpa berlengah, saya memulakan soal siasat terhadap mereka. Pada mulanya memang sukar untuk mendapatkan kerjasama dan sebarang maklumat daripada mereka. Mungkin mereka bersepakat untuk tidak mahu bekerjasama dan menceritakan hal yang sebenarnya. Mereka bukan sahaja telah memalukan nama baik ibu bapa malah mencemarkan imej sekolah. Apatah lagi berita penangkapan mereka telah tersebar luas di pekan A.
                Mereka berdolak-dalih ketika saya menyoal mereka dan cuba menipu saya. Berkat pengalaman saya dalam mengendalikan banyak kes disiplin murid-murid sebelum ini, akhirnya mereka terperangkap. Mereka mengaku bahawa mereka ditangkap oleh pihak polis ketika merayau-rayau di pekan A pada awal pagi, lebih kurang pukul 2.00 pagi. Ketika itu mereka sedang berbasikal menuju ke kafe internet yang beroperasi 24 jam. Aktiviti ini mereka telah lakukan hampir beberapa minggu tanpa pengetahuan warden dan sekuriti sekolah. Apabila masuk sahaja waktu tidur, mereka akan berpura-pura tidur hingga warden dan sekuriti membuat pemeriksaan murid asrama. Setelah warden dan sekuriti keluar, mereka pun bersiap-siap menyusup keluar dari pintu pagar belakang sekolah yang telah bocor. Mereka juga mengakui bahawa telah mencuri basikal anak polis sepanjang kegiatan mereka. Mereka pergi ke pekan A dengan menunggang basikal yang dicuri dan meletakkan semula di tempat letak basikal di flat polis setelah menggunakannya.
                          Tanpa dirancang, tapak tangan kanan saya melayang hinggap ke pipi salah seorang murid yang menjadi ketua kumpulan. Itu sebagai penutup kepada kes yang berlaku.  Manakala dua murid saya rotan tapak tangan mereka . Saya maklumkan hasil soal siasat saya kepada guru besar dan beliau meminta saya menghubungi ibu bapa murid-murid berkenaan. Perjumpaan dengan ibu bapa murid-murid tersebut diadakan secara berasingan. Ibu bapa murid yang bertindak sebagai ketua telah dinasihatkan menarik anak mereka keluar dari sekolah. Dalam erti kata,diminta berhenti sekolah manakala dua murid lagi diberikan amaran keras oleh guru besar.

Tuesday 26 April 2016

Demi Muridku

Tajuk      :  Jurnal Seorang Guru
Teks       :  Rohani bt Sarmani

Entri 8

                  Guru merupakan 'Jurutera Membentuk Manusia.' Banyak cabaran yang dihadapi dalam proses membentuk manusia. Peranan guru sangat penting dalam pembangunan negara. Pada pundak gurulah terjelmanya insan-insan cemerlang yang menerajui kemajuan negara. Mereka perlu mempunyai kemahiran dalam mendidik manusia yang bernama murid. Pelbagai teknik dan kaedah yang perlu dijana dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Paling utama sekali guru-guru hendaklah mahir dalam memikat hati murid-murid. Sekiranya mereka berjaya memenangi hati murid-murid, semua urusan mendidik menjadi lancar dan mudah.
                   Dalam hal ini, saya ingin berkongsi sedikit pengalaman mengenai antara beberapa kaedah saya mendekati murid-murid. Setiap kali sebelum memulakan PdP, saya akan meminta murid-murid berdoa dan berzikir serta membaca lima potongan ayat Al-Quran. Tujuannya agar hati mereka terlebih dahulu berserah kepada Allah dan dapat belajar dengan tenang. Seterusnya, saya akan memberikan sedikit nasihat kepada murid-murid. Saya sering mengingatkan kepada murid-murid bahawa ilmu itu suci dan hanya akan masuk ke dalam hati orang-orang yang suci, bersih dan tenang. Bilangan murid di dalam kelas saya  sebanyak 36 murid.
             Sesi PdP saya akan diselang seli dengan 'take 5' agar murid-murid tidak bosan belajar. Aktiviti PdP juga tidak statik tetapi pelbagai teknik digunakan bagi membolehkan murid-murid menguasai kemahiran yang diajar dengan santai dan mudah. Ada kalanya saya mempraktikkan aktiviti belajar sambil bermain di mana saya akan memberikan belon untuk ditiup oleh murid-murid. Kemudian, mereka perlu memecahkan belon tersebut dan menjawab soalan latihan yang diberi. Aktiviti ini berjalan secara berkumpulan. Sekiranya saya melihat murid-murid dalam keadaan lesu dan tidak bersemangat, saya akan mengajak mereka bermain kejar-kejar di padang dalam masa beberapa minit..Sekadar untuk mengembalikan mood dan konsentrasi mereka.
               Sudah menjadi amalan saya bahawa setiap bulan saya akan memperuntukkan sebanyak RM30 hingga RM50 daripada wang gaji saya untuk memberi ganjaran kepada murid-murid. Ganjaran tersebut dalam bentuk makanan, alat tulis ataupun wang tunai. Sekali sekala saya akan membelanja mereka makan ais krim Nestle. Dalam pada itu, setiap kali tibanya ulang tahun hari lahir saya, saya akan menyediakan 'ayam golek' untuk murid-murid saya. Saya akan menjamu mereka hidangan lima ekor ayam golek bekas tangan saya sendiri selepas waktu PdP. Selalunya selepas kelas malam. Inilah detik-detik yang sangat menggembirakan murid-murid saya. Mereka akan makan dalam kumpulan masing-masing yang terdiri daripada lapan hingga sembilan orang. Saya juga berasa seronok melihat mereka makan ayam golek yang saya masak.
                    Sebenarnya, banyak lagi teknik PdP yang saya gunakan untuk mendidik murid-murid. Selain itu, saya sangat memberi penekanan terhadap disiplin diri, ketepatan masa dan fokus semasa belajar. Didiklah anak-anak murid kita dengan penuh amanah, ikhlas dan dedikasi. Pasti kita akan sentiasa dihormati dan disayangi serta terpahat dalam hati sanubari mereka. Insya Allah, anak-anak kita juga akan dididik oleh guru-guru yang ikhlas dan dedikasi.

Monday 25 April 2016

Siapa yang curi?

Tajuk    :  Catatan Pengalaman
Teks     :   Rohani bt Sarmani

Entri 7

                 Semasa saya menjadi guru penolong kanan hal ehwal murid, saya pernah dikunjungi oleh seorang ibu murid, Puan Anis (bukan nama sebenar). Kedatangan Puan Anis adalah untuk meminta pertolongan saya bagi menyelesaikan satu masalah yang melibatkan anaknya, Azmil (bukan nama sebenar). 
                Ceritanya bermula ketika beliau dan suami bersiap-siap untuk mengerjakan umrah. Segala urusan anak-anak diserahkan kepada pembantu rumah dan dibantu oleh ibu Puan Anis. Manakala anaknya, Azmil tinggal di asrama. Sebelum berangkat ke lapangan terbang, beliau telah menyediakan wang sebanyak RM1000 tunai untuk kegunaan semasa kecemasan. Duit tersebut telah diamanahkan kepada pembantu rumahnya. Sementara itu, semua keperluan dapur dan anak-anak telah disediakan terlebih dahulu oleh suami Puan Anis. 
              Dipendekkan cerita, setelah dua minggu berada di Mekah Puan Anis dan suami selamat pulang dari Mekah. Setelah berada di rumah, pembantu rumah memaklumkan bahawa duit RM1000 yang ditinggalkan telah hilang daripada simpanannya. Puan Anis dan suaminya terperanjat. Beliau bertanya kepada pembantu rumahnya tentang hal tersebut tetapi pembantu rumahnya tidak tahu punca kehilangan duit itu. Puan Anis bertanya kepada anak-anak beliau termasuklah Azmil. Kesemua anak-anaknya tidak mengaku mengambil duit itu. Malah, Azmil menuduh pula duit itu dicuri oleh pembantu rumah mereka. Namun, daripada riak wajah dan gerak laku Azmil, Puan Anis mengesyaki Azmil yang telah mengambil duit itu. Beliau menyatakan perasaannya kepada suami dan hasil perbincangan dengan suami, mereka berpakat untuk meminta bantuan saya bagi menyelesaikan masalah ini.
                  Saya membuat janji temu dengan Azmil. Beberapa jam sebelum pertemuan diadakan, saya menunaikan solat sunat hajat bagi memohon bantuan Allah agar memberi penyelesaian terhadap  masalah yang akan saya selesaikan.  Setelah sampai pada masa yang dijanjikan, saya mempersilakan Azmil duduk dan berbicara mengenai diri dan keluarga Azmil. Ini sebagai intro sebelum saya fokus kepada perkara yang hendak diselesaikan. Saya bertanya sama ada Azmil mengetahui mengenai kehilangan duit ibunya. Dia menganggukkan kepalanya, tanda mengetahui perkara yang berlaku. Dia terus menafikan bahawa bukan dia yang mencuri duit tersebut. Sebaliknya, Azmil menuduh pembantu rumah mereka yang mencurinya. 
              Saya mula memainkan peranan secara psikologi dengan menerangkan tentang dosa mencuri, menuduh orang lain mencuri dan balasan Allah terhadap pencuri. Saya juga memberitahu Azmil tentang mustajabnya doa seorang ibu, dosa menipu ibu bapa dan betapa musibah akan menimpa anak yang derhaka. Wajah Azmil mula berubah menjadi pucat dan dia kelihatan resah. Tutur katanya juga menjadi tidak teratur. Saya psiko dia lagi tentang tindakan pihak polis sekiranya ibu bapanya melaporkan perkara tersebut ke balai polis. Dalam pada itu, saya tidak putus-putus berdoa ke hadrat Allah memohon pertolongan. 
           Akhirnya, Azmil membuat pengakuan bahawa dia yang mencuri duit yang ditinggalkan  semasa ibu bapanya mengerjakan umrah.  Sebahagian daripada duit tersebut telah digunakan untuk  membeli telefon bimbit, sedikit keperluan diri dan membelanja kawan-kawannya. Hanya tinggal beberapa ratus ringgit sahaja dalam simpanannya. Air mata keinsafan mengalir deras daripada kelopak mata Azmil menandakan dia menyedari dan menyesali kekhilafan yang telah dilakukan. Saya meminta Azmil menelefon ibunya bagi memaklumkan perkara yang sebenar dan memohon keampunan kepada ibunya.
                  Selang beberapa hari kemudian, Puan Anis menelefon saya dan memaklumkan  bahawa Azmil telah menelefon beliau. Azmil mengaku kesalahannya dan memohon keampunan daripada ibunya. Dia memulangkan baki duit yang ada dalam simpanannya dan berjanji akan mengubah sikapnya. Saya merafak kesyukuran ke hadrat Allah kerana memberikan pertolongan kepada saya.
              

Nostalgia zaman kanak-kanak

Tajuk     :  Catatan Pengalaman
Teks      :  Rohani bt Sarmani

Entri 6

               Seronoknya melalui zaman kanak-kanak saya pada tahun 1970-an. Bebas ke sana ke mari tanpa perlu kawalan ketat daripada ibu bapa dan keluarga. Dapat bermain dengan pelbagai permainan dan punyai banyak kawan sebaya. Saya dapat bermain sorok-sorok, kejar-kejar, masak-masak, bola sepak, konda kondi, main baling selipar dan bermacam-macam lagi permainan.Ada kalanya kami ke sungai menangkap anak-anak ikan dan berudu serta mandi sungai. Hidup dalam alam kanak-kanak tiada diulit oleh sebarang masalah cuma sekali sekala bergaduh dengan kawan-kawan. Itu pun cuma seketika.
               Apalagi apabila tiba bulan Ramadhan. Seronok dapat solat terawih dan bermain mercun serta bunga api. Kekadang ada juga aksi nakal kawan-kawan yang mengikat mercun tarik pada selipar pakcik-pakcik surau. Apabila mereka memakai selipar dan mula mengatur langkah, meletuplah mercun itu. Melatah dibuatnya pakcik-pakcik tu. Satu lagi situasi yang menyeronokkan adalah pada masa moreh. Saya dan kawan-kawan dapat makan pelbagai juadah makanan yang disediakan seusai solat terawih. Pada malam hari raya pula, aktiviti surau diisi dengan takbir hari raya dan kanak-kanak seusia saya sibuk dengan bunga api serta mercun. Riang ria kami bermain di sekeliling surau. Keesokan paginya, selepas selesai solat sunat Aidilfitri, kami menyusun strategi untuk  'menyerang' rumah-rumah jiran tetangga yang tidak balik ke kampung. Misi kami selain dapat makan kuih raya adalah mengumpulkan duit raya pemberian  daripada tuan rumah.
              Tetapi kini, segala-galanya berubah. Zaman kanak-kanak alaf moden ini tidak sama dan seseronok zaman saya dahulu. Kanak-kanak sekarang terlalu obses dengan gadget. Jari jemari mereka sibuk menari-nari pada butang gadget hingga tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Mereka lebih suka berkurung di rumah dengan ditemani gadget seperti komputer riba, iPad, iPhone dan sebagainya. Kekadang, anak jiran sebelah rumah pun mereka tidak kenali. Kemahiran bersosial semakin menipis. Tiada lagi sapaan mera kanak-kanak terhadap orang yang lebih tua daripada mereka apabila berselisih jalan. Malah, kekadang mereka tidak kenal rapat dengan sepupu, saudara mara dan jiran tetangga. Hidup dilingkari dengan teknologi canggih hingga diri menjadi umpama robot. Tidak halus budi dan bicara.
            Lebih malang lagi, kanak-kanak generasi kini tidak boleh bebas bergerak ke sana sini. Terpaksa diawasi dan dikawal ketat oleh ibu bapa disebabkan masalah keselamatan diri, bimbang tersalah memilih kawan atau terdedah kepada anasir jahat seperti penjenayah, peragut, pembuli dan penculik. Sana sini kedengaran berita kanak-kanak hilang, remaja tidak pulang ke rumah, isu pembunuhan dan penculikan kanak-kanak. Kehidupan kanak-kanak zaman kini terancam dek kegelojohan dan kerakusan manusia yang mengikut nafsu dan tiada peri kemanusiaan. Kanak-kanak menjadi mangsa, malah menjadi sasaran penjenayah mencapai cita-cita mereka. 
              Wahai masyarakat dunia, kasihanilah kanak-kanak. Benarkan mereka hidup dengan gembira dan selamat. Kembalikan semula keriangan mereka agar mereka dapat menempuhi zaman kanak-kanak seperti yang kalian lalui tanpa sebarang ancaman dan ketakutan.

Friday 22 April 2016

Karipap Oh Karipap

Tajuk   :  Car Boot Sale
Teks    :  Rohani bt Sarmani

Entri 5

                   Tiga tahun yang lalu, saya tidak menjangka bahawa saya akan menerjunkan diri di dalam dunia perniagaan. Saya mencuba nasib dengan membuat produk makanan sejuk beku iaitu karipap dan roti boom. Saya menyuarakan hasrat saya kepada suami dan beliau bersetuju dengan niat saya. Malah, beliau bersedia untuk menjualkan produk saya . Kami memilih pasar awam yang berdekatan dengan tempat tinggal kami sebagai lokasi perniagaan kami.
              Bagi memastikan hasil produk saya mendapat tempat pada hati para pelanggan, saya menggunakan bahan-bahan yang berkualiti seperti daging segar jenis bola, ayam organik Az Zain dan tepung gandum tanpa pemutih. Di samping itu, saya juga membuat jeli kelapa pandan yang enak dimakan terutama pada musim panas.
               Konsep perniagaan saya adalah secara 'Car Boot Sale.' Strategi pemasaran yang saya lakukan ialah produk keluaran saya akan pergi kepada pelanggan. Saya tidak menghantar hasil produk saya ke kedai makanan sejuk beku walaupun ada permintaan supaya saya berbuat demikian. Dengan strategi yang saya jalankan, saya boleh mendapat respons segera daripada pelanggan mengenai hasil produk saya.
                      Pada setiap hari Sabtu dan Ahad, suami saya akan membawa hasil produk saya ke pasar awam yang berhampiran. Kami hanya menjalankan perniagaan pada hari Sabtu dan Ahad sekiranya suami tidak bekerja pada hari tersebut.Sebagaimana biasa, pada peringkat permulaan, produk keluaran saya tidak mendapat sambutan. Namun, berkat kesabaran suami terus berniaga saban minggu, akhirnya produk kami mendapat sambutan daripada masyarakat setempat. Kadangkala, ada juga pelanggan yang membuat tempahan karipap dan jeli kelapa pandan untuk majlis mereka.
                       Alhamdulillah, hingga kini kami mampu menjual karipap antara 30 hingga 40 bungkus untuk dua hari dan jeli kelapa pandan antara 200 hingga 300 cawan pada satu-satu masa. Pelbagai kerenah pelanggan yang suami saya temui dan ada kalanya menguji kesabaran. Namun, berbekalkan senyuman dan tutur kata yang sopan, suami saya tetap melayan para pelanggannya. Kekadang tidak menang tangan beliau menyiapkan tempahan daripada para pelanggan. 
                         Saya bersyukur kepada Allah kerana bidang perniagaan telah menjadi sebahagian daripada tempat kami meraih rezeki dan mengajar kami erti tawakal  serta pergantungan yang tinggi kepada Allah dalam setiap urusan hidup ini. Saya menyimpan hasrat dan impian agar pada suatu hari nanti hasil produk saya dapat menembusi pasaran atau permintaan di hotel-hotel dan pasaran luar.
                               

Wednesday 13 April 2016

Tajuk     :   Jurnal Seorang Guru.

Teks      :   Rohani bt Sarmani.

Entri 4.

                      Tempoh 26 tahun menjawat jawatan sebagai guru merupakan satu tempoh yang sangat indah dan membahagiakan. Apa tidaknya, setiap hari saya memberikan tunjuk ajar dan nasihat serta bimbingan secara berterusan tanpa berasa jemu kepada anak-anak didik saya. Nasihat dan bimbingan yang diberikan kepada anak-anak didik, juga menjadi ingatan dan muhasabah kepada diriku sendiiri. Apatah lagi, tugas guru sebagai pendidik dan pemberi pesanan merupakan tugas mulia yang digalas sebagai kesinambungan kepada tugas para Nabi dan Rasul Allah.

                      Pelbagai kenangan dan memori indah dan pahit ditempuhiketika melalui liku-liku hidup sebagai guru. Pada kesempatan ini, saya ingin berkongsi satu dua kisah yang saya lalui semasa menjadi guru biasa. Ketika pada awal pembabitan saya dalam arena pendidikan, saya diamanahkan mengajar subjek Bahasa Melayu tahun dua dan tiga. Seperti semua orang mengetahui, apabila kita berhadapan dengan murid-murid seawal umur lapan dan sembilan tahun, kita perlu bijak memikat hati dan perhatian mereka.  Bagi memastikan PdP berjalan dengan lancar dan berkesan, saya akan menyediakan rancangan pelajaran yang menarik. Setiap kali mengajar, saya akan menyediakan bahan bantu mengajar (BBM) dengan menggunakan kad manila atau kertas mahjong. Ternyata pendekatan yang sedemikian dapat menarik perhatian dan tumpuan belajar murid-murid. Disebabkan saya terlalu obses dengan BBM, ada sahaja masa yang terluang sama ada di sekolah atau di rumah, saya akan menyediakannya. Pen marker dan pensel warna menjadi teman setia saya. Rupa-rupanya, ada mata-mata yang sentiasa memerhatikan saya membawa BBM ke hulu dan ke hilir menuju ke kelas. Ada antara guru yang menggelarkan diri saya sebagai 'Penjual Batu Aked.'. Apa tidaknya,  BBM yang telah disiapkan selalunya saya akan masukkan ke dalam kit /beg BBM yang dihadiahkan oleh seorang kenalan yang merupakan guru pelatih maktab. Namun, saya tidak pernah berkecil hati atau tersinggung dengan gelaran tersebut. Saya menganggap itu semua sebagai guruan manja dan pembakar semangatku.

                        Pernah pada suatu hari, guru besar saya tertarik melihat BBM yang saya buat. BBM tersebut berkenaan dengan tajuk "Kemudahan Awam." Saya melukis gambar beberapa kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan. Guru Besar meminta izin daripada saya untuk masuk melihat saya mengajar tajuk tersebut menggunakan BBM. Terasa bangga bercampur gementar juga perasaan saya apabila Guru Besar menyatakan hasrat beliau. Ketika hendak masuk ke kelas, saya singgah di pejabat untuk menjemput Guru Besar masuk ke kelas saya. Beliau duduk di belakang kelas sementara saya mengajar murid-murid seperti biasa. Mungkin disebabkan teruja dengan penglibatan aktif murid-murid semasa saya mengajar dengan BBM yang telah dibuat, belaiu meminta izin pula untuk mengajar murid-murid menggunakan BBM saya. Kebetulan pula, saya mengajar dua waktu dalam kelas tersebut. Saya mempersilakan Guru Besar ke hadapan kelas dan saya duduk di belakang kelas melihat Guru Besar mengajar. Terbit rasa lucu dalam hati ini mengenangkan situasi tersebut. Saya pula yang menyelia Guru Besar mengajar murid-murid. Namun, saya bangga kerana Guru Besar sudi menggunakan BBM saya sebagai bahan mengajar.Tidak sia-sia gelaran sinis yang diberikan oleh beberapa guru kepada saya. Momen itu menjadi motivasi yang manis kepada saya dalam meneruskan kerjaya sebagai guru ketika itu.

                               
                      

Thursday 7 April 2016

Tajuk     :  Catatan Harian
Teks       :  Rohani bt Sarmani

Entri 3

                      Pagi semalam saya ke kedai serbaneka 7 Eleven untuk membeli top up UMobile berharga RM10.00.Setelah membeli top up, saya terus memandu ke rumah emak yang memakan masa selama sepuluh minit perjalanan. Setibanya di rumah emak, saya berhasrat memasukkan nilai top up itu ke dalam telefon bimbit yang baharu saya beli beberapa hari lalu. Malangnya, saya dapati top up yang diberi oleh staf 7 Eleven itu berjenama Tune Talk. Saya menyimpan sahaja slip top up itu ke dalam dompet. Pada sebelah petangnya, saya pergi semula ke kedai 7 Eleven dan berjumpa dengan staf yang bertugas. Ternyata staf yang bertugas bukan staf pagi tadi. Saya menerangkan kepada staf tersebut mengenai tujuan saya untuk meminta kembali duit RM10.00 dan memaklumkan kesilapan yang dilakukan oleh staf pagi tadi. Staf yang bertugas tidak dapat berbuat apa-apa dan meminta saya berjumpa dengan pengurus pada keesokan paginya.

                            Pada keesokan paginya, saya pergi ke kedai 7 Eleven untuk berjumpa pengurusnya. Saya menerangkan mengenai kejadian semalam dan ingin meminta semula duit top up saya. Pengurus 7 Eleven itu meminta stafnya menelefon pihak berkaitan dan memohon maaf kepada saya sebab tidak dapat memulangkan wang tersebut. Lalu, beliau beredar dari kaunter dan masuk ke dalam pejabatnya. Sebenarnya, saya bukan sangat hendak mendapatkan semula duit RM10 cuma sekadar ingin melihat cara pihak 7 Eleven berurusan dengan pelanggan mereka. Sementara itu, staf yang diarahkan menelefon pihak berkaitan telah berbuat demikian tetapi tidak mendapat sebarang respons. Daripada riak wajah yang serba salah, beliau berjanji kepada saya bahawa top up tersebut akan dijual kepada pelanggan lain dan menghubungi saya sekiranya berjaya berbuat demikian,Saya akur sahaja dan berlalu daripada kedai itu. Begitulah resmi sistem ekonomi kapitalis, mereka yang membuat kesilapan tetapi pelanggan yang terpaksa menanggung akibatnya. 

                                Kemudian, saya memandu kereta saya ke rumah emak. Saya ada tugasan yang perlu dibereskan iaitu membuat karipap frozen. Saya perlu menyelesaikan proses membuat karipap sebelum pukul 5.00 petang kerana selepas itu saya mengajar kelas tuisyen Bahasa Melayu hingga pukul 7.00 malam. Semasa sedang sibuk memotong ubi kentang, saya menerima panggilan telefon daripada seorang rakan yang bertugas di sebuah sekolah rendah swasta. Beliau ingin meminta bantuan saya membuat pemantauan PdP guru-guru di sekolahnya. Saya bersetuju untuk membantu tetapi meminta beliau mengaturkan dahulu pertemuan saya dengan GPK Akademik sekolah berkenaan.  Tujuan saya adalah untuk melihat perancangan yang telah diatur oleh GPK Akademik dan mengetahui kekangan yang beliau hadapi dalam menjalankan tugasannya. Saya meminta agar janji temu dengan GPK Akademik  diadakan pada hari Isnin minggu hadapan. Setelah selesai urusan dengan kenalan saya itu, saya  pun meneruskan tugas yang terhenti tadi.                        

Monday 4 April 2016

4 April 2016

Tajuk     :  Catatan Harian.

Teks      :   Rohani bt. Sarmani

Entri  2.

                    Alhamdulillah, segala puja dan puji dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita dalam mengharungi kehidupan di dunia ini. Selawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, yang sentiasa didamba dan dirindui oleh setiap insan bernama mukmin. Salam sejahtera buat rakan taulan dan sahabat handai yang berkesempatan melawati laman ini.
                    Teruja rasanya hati saya apabila pagi ini saya berkesempatan memberi ceramah pendidikan dalam kursus guru yang diadakan oleh sebuah sekolah rendah Islam swasta di bandar Seremban. Dalam kursus guru tersebut saya diamanahkan menyampaikan dua slot ceramah dan dua sesi bengkel yang memakan masa lebih kurang lapan jam. Rindu terhadap alam pendidikan setelah hampir empat tahun meninggalkannya rasa terubat sedikit. Terbit semangat yang membara dalam hati saya untuk melaksanakan tugas yang diberi dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh. Sebenarnya, jauh dalam benak hati saya amat mencintai bidang pendidikan. Namun, apakan daya aku terpaksa nekad meninggalkan alam ini setelah bergelumang selama 26 tahun. Pasti terhimpun terlalu banyak hikmah yang disediakan oleh Allah. Berbalik kepada slot ceramah yang diamanahkan kepada saya. Tajuk slot ceramah yang pertama ialah "Guru sebagai Satu Profesion: Ciri-ciri Guru yang Profesional dan Konsep 5M". Manakala slot ceramah yang kedua ialah " Konsep Etika: Etika Guru, Integriti & Akauntabiliti Guru dan Isu Salah Laku Guru." Setiap slot ceramah berlangsung selama dua jam dan disusuli dengan sesi bengkel. Bagi sesi bengkel yang pertama tajuknya ialah "Kasut Buruk' yang merupakan satu paparan video pendek yang berdurasi empat minit. Paparan video ini berkisar mengenai kisah kegigihan dan akauntabiliti seorang guru terhadap anak muridnya. Agak syahdu juga jalan cerita yang dipaparkan hingga mampu menimbulkan rasa empati dalam hati kami.
                                 Pada sebelah malam pula, kursus diteruskan dengan slot ceramah yang kedua. Slot ceramah yang sepatutnya dimulakan pada jam 8.00 malam tidak dapat berjalan dengan lancar. Ini adalah disebabkan sebahagian guru masuk lewat ke bilik kursus. Menyirat darahku  menahan kemarahan atas sikap sambalewa para guru. Apa lagi, melihatkan tidak ada seorang pun wakil pihak pentadbir atau penganjur yang menjengokkan muka untuk memantau perjalanan kursus. Alhamdulillah, saya dapat memupuk kesabaran dalam diri ketika menghadapi situasi ini. Saya tetap tenang dan sabar menanti bilik kursus dipenuhi oleh para guru. Saya memang sangat tegas tentang disiplin dan menepati masa kerana itu merupakan antara kunci kecemerlangan seseorang individu. Mana mungkin kita boleh berjaya dengan cemerlang sekirannya kita tidak ada disiplin dan tidak menepati masa.  Setelah menanti hampir setengah jam, baharulah bilik kursus penuh dengan para guru. Saya memulakan slot ceramah dengan memberi teguran yang tegas terhadap disiplin dan menepati masa. Saya menyentuh tentang sikap guru-guru yang tidak menepati masa dan mengambil ringan terhadap perkara tersebut. Sememangnya saya tidak dapat menahan kemarahan saya ketika itu namun, kemarahan itu saya salurkan dengan santun. Saya berharap teguran yang diberi dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para guru yang hadir. Seterusnya, saya  menyambung slot ceramah kedua ini dengan memberi penekanan terhadap kepentingan guru mempunyai etika yang positif, membincangkan mengenai lima aspek akauntabiliti guru dan  menyentuh mengenai isu salah laku guru. Etika guru dan isu salah laku guru pada masa kini banyak memberi kesan dan mencalar sedikit sebanyak maruah dan wibawa profesion keguruan. Atas dasar itu maka setiap guru wajib mempunyai etika yang betul sebagaimana yang telah digariskan dan mengelakkan diri daripada menjadi bahan cemuhan masyarakat. Slot ceramah saya pada malam itu berakhir hampir pukul 10.00 malam. Sesi bengkel seterusnya akan disambung pada malam esok.
                                         Saya bergegas pulang ke rumah yang memakan masa lebih kurang sepuluh minit perjalanan dengan memandu kereta. Tidak sangka saya mampu menyelesaikan tugasan selama enam jam setelah lama menyepi daripada bidang pendidikan. Namun, saya berasa puas kerana dapat melepaskan rindu terhadap dunia pendidikan yang telah mendarah daging dalam diri saya selama ini.
Terima kasih Allah.                                                                         


Monday 28 March 2016

Tajuk : Pengenalan Diri.

Teks : Rohani bt Sarmani.



                      Nama saya Rohani bt Sarmani, anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik. Dilahirkan dalam keluarga yang sederhana tetapi amat menitik beratkan hal-hal keagamaan. Saya telah berkahwin dan memiliki sepasang cahaya mata yang menjadi 'penyejuk mata' (qurratul ain) ibu ayah. Syukur ke hadrat Allah kerana saya diizinkan menjadi seorang isteri dan ibu.  Betapa besarnya nikmat dan pesonanya menjawat jawatan tersebut, yang diwarnai pelbagai warna kehidupan.
                     
                      Pendidikan awal saya bermula di Kuala Lumpur dari darjah satu hingga tiga. Ketika itu abah saya bekerja di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur. Saya seterusnya melanjutkan pelajaran di Ipoh hingga tingkatan lima. Saya bukanlah tergolong dalam kalangan murid yang cemerlang. Mungkin ketika itu saya tidak menggunakan peluang dan kesempatan yang ada untuk belajar bersungguh-sungguh. Zaman persekolahan menengah banyak saya isi dengan aktiviti bersukan. Saya amat meminati permainan hoki. Saya mula berjinak-jinak dengan permainan hoki ketika dalam tingkatan dua. Setiap petang, saya berlatih bersungguh-sungguh tanpa rasa jemu. Akhirnya, ketika berada dalam tingkatan empat saya berjaya terpilih mewakili sekolah. Saya mewakili sekolah dalam pertandingan sukan daerah dan negeri Perak selama dua tahun iaitu ketika dalam tingkatan empat dan lima. Semasa berada dalam tingkatan lima, saya telah diamanahkan menjadi ketua pasukan hoki sekolah. Saya bermain pada posisi sayap kanan. Pada tahun tersebut, pasukan sekolah di bawah pimpinan saya dan bimbingan jurulatih telah berjaya menjadi johan hoki daerah dan negeri. Kemudian, saya telah terpilih mengikuti Kem Bakat peringkat negeri sebagai persiapan untuk menghadapi Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia Bawah 18 tahun. Berkat kesungguhan saya menjalani latihan, telah memikat hati jurulatih dan seterusnya saya terpilih dalam kesebelasan pemain utama untuk mewakili negeri Perak. Saya berjaya mewakili pasukan negeri Perak selama dua tahun berturut-turut. Inilah kemuncak kejayaan dan kepuasan dalam bidang sukan yang saya kecapi ketika itu.
                    Namun, walaupun saya sibuk bersukan, saya tidak mengabaikan pelajaran. Saya tetap berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia walaupun sekadar pangkat 3. Saya menyambung pelajaran hingga ke tingkatan enam dan meneruskan minat dalam sukan hoki. Malah, saya menyimpan impian untuk mewakili pasukan hoki wanita kebangsaan pada suatu hari nanti. Alhamdulillah, hasrat saya itu tidak dimakbulkan Allah. Pasti ada hikmah terindah di sebaliknya. Selepas keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia saya peroleh dengan 3 Prinsipal, saya cuba memohon untuk memasuki institusi pengajian tinggi. Tetapi, tidak berjaya. Sayamengambil keputusan untuk bekerja dan mencari peluang belajar sambil bekerja. Kerjaya sebagai guru bermula selepas saya tidak berjaya dalam permohonan ke IPTA. Saya memulakan kerjaya sebagai guru sementara di sekolah kerajaan. Kerjaya guru sebenarnya bukan cita-cita saya malah tidak pernah terlintas dalam kamus kehidupan saya. Semasa menjadi guru sementara, saya ditawarkan bekerja di sebuah sekolah rendahIslam swasta di bandar Seremban. Saya menerima tawaran tersebut kerana saya berpeluang mendidik anak-anak seagama dan sebangsa dengan saya. Saya menerima ketentuan Allah kerana sesungguhnya Allah lebih mengetahui segala yang terbaik buat diri ini. Saya mula belajar mencintai kerjaya sebagai seorang guru. Atas rasa kekurangan ilmu dan pengalaman sebagai guru, saya menghadiri kursus-kursus yang dijalankan oleh pihak sekolah. Selain itu, saya berusaha menambah ilmu pendidikan dengan cara belajar sambil bekerja. Saya mengambil Sijil Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia selama dua tahun  dari tahun 1986 hingga 1988. Kursus ini dijalankan secara separuh masa iaitu pada setiap hari Sabtu.
                                  
                            Pada November 1989, saya melangsungkan perkahwinan atas pilihan keluarga. Saya masih meneruskan pengajian saya dalam bidang pendidikan dengan mengambil kursus Diploma Pendidikan Islam, IPI selama setahun (1990-1991). Saya belajar secara separuh masa pada setiap hari Sabtu.  Pada ketika itu, saya mengandungkan anak sulung. Suami yang menjadi peneman sepanjang saya belajar di mana suami akan menghantar saya ke kampus pengajian di Kajang, menemani saya hingga ke bilik darjah dan seterusnya menunggu hingga saya selesai belajar. Inilah rutin saya dan suami setiap hari Sabtu selama setahun pengajian saya. Saya menduduki peperiksaan akhir tahun setelah saya selesai pantang melahirkan anak sulung saya. Seterusnya, pada tahun 1994 - 1995, saya menyambung kembali pengajian saya dalam bidang Diploma Kaunseling Islam, IPI selama setahun. Ketika itu juga, saya sedang mengandungkan anak kedua. Saya suka belajar ketika mengandung walaupun mengalami cabaran dan kesukaran kerana sekurang-kurangnya anak dalam kandungan saya juga sama-sama belajar dengan ibu mereka. Kali ini saya menduduki peperiksaan akhir ketika dalam berpantang. Kedua-dua anak saya lahir melalui kaedah pembedahan caesarian kerana saya tidak boleh melahirkan anak secara fitrah. Dengan perut yang masih sakit kesan pembedahan dan berbengkung rapi, saya mengatur langkah berhati-hati menuju dewan peperiksaan. Alhamdulillah, saya berjaya dalam peperiksaan dan dianugerahkan diploma. Saya sempat bekerja di sekolah rendah Islam swasta selama 8 tahun. Kemudian, saya ditawarkan bekerja di sebuah lagi sekolah rendah Islam swasta juga di bandar Seremban.  
                  
                               Atas permintaan suami, saya berehat sebentar daripada belajar. Saya meneruskan kerjaya saya dengan penuh dedikasi tanpa mengenal erti penat. Hinggalah pada tahun 2001, saya dilantik sebagai guru besar. Saya menjadi guru besar selama sembilan tahun. Tentulah sebagai guru besar, saya menjadi rujukan utama dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap guru-guru, kemenjadian murid-murid dan ibu bapa serta kecemerlangan sekolah. Lantas, keinginan untuk melanjutkan pengajian kembali membuak-buak dalam hati. Saya perlu melengkapkan diri dengan ilmu mentadbir sebagai guru besar. Saya menyatakan hasrat yang terpendam ini kepada suami dan memohon keizinannya. Alhamdulillah, suami mengizinkan saya melanjutkan pengajian. Cuma, satu sahaja masalah yang saya hadapi iaitu masalah kewangan. Apapun, dengan penuh keyakinan dan pergantungan yang kuat kepada Allah, saya mengisi borang permohonan belajar di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) cawangan Negeri Sembilan. Permohonan saya berjaya dan saya mengambil kursus Ijazah Pendidikan (Pentadbiran Pendidikan) dengan Kepujian. Pada masa yang sama, saya menyatakan hasrat saya untuk menyambung pengajian kepada ibu dan menyatakan masalah kewangan yang saya hadapi. Dengan izin Allah, ibu bersetuju untuk menaja yuran pendaftaran sebanyak RM700. Maha Suci Allah yang menggerakkan hati ibu saya. Bukan kepalang gembiranya hati saya ketika itu. Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Seperti biasa, suami menemani saya pada hari pendaftaran pengajian saya di OUM. Saya mengikuti pengajian selama lima tahun bermula dari September 2005 hingga September 2010. Rutin harian saya sebagai guru besar berjalan seperti biasa. Begiitu juga tugas saya sebagai anak, isteri dan ibu yang membesarkan dua orang anak yang sedang meningkat remaja. Bagi saya, tiada halangan yang seharusnya mengganggu gugat perjalanan saya menjejaki ilmu. Saya tetap tabah mengharungi segala jua cabaran yang mendatang sambil doaku tidak putus-putus ke hadrat Ilahi.
                   
                              Genap lima tahun belajar, pada bulan September 2010 saya secara rasminya menamatkan pengajian. Terbit rasa puas dan syukur ke hadrat Allah. Hanya menunggu sahaja masa untuk dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda dalam majlis konvokesyen yang diadakan pada bulan November 2010. Namun, disebabkan kesibukan saya dengan tugas sebagai guru besar, saya terlupa untuk mengesahkan persetujuan  menghadiri majlis konvokesyen. Saya 'terlepas' untuk meraikan hari bersejarah saya dengan suami dan anak-anak. Tetapi, saya yakin tentu terselit hikmat di sebaliknya. Kekadang apabila diingat-ingatkan kembali, timbul rasa lucu. Dalam pada itu, saya nekad untuk meneruskan pengajian pada peringkat Sarjana Pentadbiran Pendidikan. Saya pendamkan dahulu hasrat saya dan bekerja seperti biasa. "Kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari." Tanggal 28 Julai 2011, saya meletakkan jawatan sebagai guru secara mengejut, berkuatkuasa 24 jam. Saya memulangkan semula sebulan gaji yang saya terima pada bulan tersebut. Ada insiden yang berlaku yang menyebabkan saya tidak betah untuk terus bertahan di sekolah tersebut. Bagi saya, kalau sudah tiada keikhlasan dan kegembiraan untuk pergi ke sekolah dan menggalas tugas, lebih baik saya mengundurkan diri. Tidak membenarkan diri menjadi eaban kepada sekolah. Itulah prinsip hidup saya. Saya nekad walaupun dipujuk oleh pihak pentadbir. Peristiwa ini menggemparkan warga guru, murid-murid dan ibu bapa. Masing-masing terperanjat dan bertanya sebab peletakan jawatan saya. Namun, hingga ke hari ini tidak ada sesiapa di antara mereka yang mengetahui punca sebenar peletakan jawatan saya. Biarlah rahsia. Saya sempat berkhidmat di sekolah itu selama 16 tahun.  Banyak kecemerlangan yang dapat diraih hasil usaha saya dan guru-guru. Saya puas kerana berhenti ketika nama saya menjadi sebutan sebagai salah seorang 'arkitek' yang menjana kecemerlangan guru-guru dan murid-murid dari segi akademik dan sahsiah.
                            Bagi saya, setelah berhenti kerja, inilah masa yangsesuai untuk saya melanjutkan pengajian pada peringkat Sarjana Pendidikan (Pentadbiran Pendidikan) di Universiti Kebangsaan Malaysia.Permohonan saya berjaya dan buat pertama kalinya saya mendaftar sebagai pelajar tanpa ditemani oleh suami kerana tidak dapat cuti. Saya memandu kereta dari Seremban ke Bangi dengan sekali sekala ditemani linangan air mata kerana terpaksa berdikari. Tiada lagi kesempatan masa untuk suami menemani saya belajar selama dua tahun. Anak-anak saya juga ketika itu sedang menuntut di universiti. Bayangkan ibu dan anak-anak berebut-rebut belajar. Suatu momen yang sangat indah buat saya.. Tentu ada yang bertanya daripada mana sumber kewangan yang saya peroleh untuk membiayai pengajian saya di OUM dan UKM. Adakah saya mendapat biasiswa atau pinjaman PTPTN. Jawapannya, tidak. Sebaliknya, saya gunakan wang simpanan akaun 2 dalam KWSP untuk membiayai pengajian saya. Saya menghabiskan lebih RM20 ribu untuk menanggung kos pengajian saya pada peringkat ijazah pertama dan sarjana. Sekali lagi saya tidak naik ke pentas untuk menerima skrol sarjana. Bukan kerana terlupa tetapi sebaliknya saya memang teringin untuk naik ke pentas. Keinginan saya itu bertujuan untuk memberi motivasi kepada anak-anak saya. Timbul persoalan sebab saya tidak naik ke pentas. Ini adalah kerana saya tidak sanggup mengorbankan prinsip saya semata-mata untuk menggenggam skrol kosong. Syarat pihak universiti tidak membenarkan graduan 'berniqab' naik ke pentas menerima skrol sedangkan saya 'berniqab'. Biarlah saya kempunan di dunia tetapi mengecapi bahagia di akhirat.
Kini, saya telah memiliki Sarjana Pentadbiran Pendidikan tetapi saya tidak bekerja sebagai guru. Rutin harian saya diisi dengan aktiviti membuat karipap dan roti boom frozen serta jeli kelapa pandan untuk suami saya berniaga pada hari Sabtu dan Ahad. Pada hari-hari tertentu, saya mengajar kelas tuisyen Bahasa Melayu utuk murid UPSR. Apapun, minat dan kecintaan saya terhadap dunia pendidikan tidak pernah sedikitpun terpadam. Sentiasa segar dan bersemangat dalam diri. Saya menyimpan cita-cita untuk berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman dalam pendidikan dengan pentadbir sekolah dan guru-guru sekolah rendah Islam swasta. Saya cenderung untuk menjadi konsultan pendidikan. Saya juga berhasrat untuk melanjutkan pengajian pada peringkat PhD dalam bidang pentadbiran pendidikan. Selain itu, terjun dalam bidang perniagaan. Walaupun usia saya sudah menginjak masuk 'ke -5 series', namun semangat saya dalan menuntut ilmu tidak pernah luntur, Insya Allah.
                        Inilah secebis pengenalan diri yang mampu saya coret buat tatapan  dan perkongsian dengan rakan-rakan. Semoga ada manfaat yang dapat diambil. Saya mohon tunjuk ajar daripada para sifu dan rakan-rakan. Sekian.