Monday 25 April 2016

Siapa yang curi?

Tajuk    :  Catatan Pengalaman
Teks     :   Rohani bt Sarmani

Entri 7

                 Semasa saya menjadi guru penolong kanan hal ehwal murid, saya pernah dikunjungi oleh seorang ibu murid, Puan Anis (bukan nama sebenar). Kedatangan Puan Anis adalah untuk meminta pertolongan saya bagi menyelesaikan satu masalah yang melibatkan anaknya, Azmil (bukan nama sebenar). 
                Ceritanya bermula ketika beliau dan suami bersiap-siap untuk mengerjakan umrah. Segala urusan anak-anak diserahkan kepada pembantu rumah dan dibantu oleh ibu Puan Anis. Manakala anaknya, Azmil tinggal di asrama. Sebelum berangkat ke lapangan terbang, beliau telah menyediakan wang sebanyak RM1000 tunai untuk kegunaan semasa kecemasan. Duit tersebut telah diamanahkan kepada pembantu rumahnya. Sementara itu, semua keperluan dapur dan anak-anak telah disediakan terlebih dahulu oleh suami Puan Anis. 
              Dipendekkan cerita, setelah dua minggu berada di Mekah Puan Anis dan suami selamat pulang dari Mekah. Setelah berada di rumah, pembantu rumah memaklumkan bahawa duit RM1000 yang ditinggalkan telah hilang daripada simpanannya. Puan Anis dan suaminya terperanjat. Beliau bertanya kepada pembantu rumahnya tentang hal tersebut tetapi pembantu rumahnya tidak tahu punca kehilangan duit itu. Puan Anis bertanya kepada anak-anak beliau termasuklah Azmil. Kesemua anak-anaknya tidak mengaku mengambil duit itu. Malah, Azmil menuduh pula duit itu dicuri oleh pembantu rumah mereka. Namun, daripada riak wajah dan gerak laku Azmil, Puan Anis mengesyaki Azmil yang telah mengambil duit itu. Beliau menyatakan perasaannya kepada suami dan hasil perbincangan dengan suami, mereka berpakat untuk meminta bantuan saya bagi menyelesaikan masalah ini.
                  Saya membuat janji temu dengan Azmil. Beberapa jam sebelum pertemuan diadakan, saya menunaikan solat sunat hajat bagi memohon bantuan Allah agar memberi penyelesaian terhadap  masalah yang akan saya selesaikan.  Setelah sampai pada masa yang dijanjikan, saya mempersilakan Azmil duduk dan berbicara mengenai diri dan keluarga Azmil. Ini sebagai intro sebelum saya fokus kepada perkara yang hendak diselesaikan. Saya bertanya sama ada Azmil mengetahui mengenai kehilangan duit ibunya. Dia menganggukkan kepalanya, tanda mengetahui perkara yang berlaku. Dia terus menafikan bahawa bukan dia yang mencuri duit tersebut. Sebaliknya, Azmil menuduh pembantu rumah mereka yang mencurinya. 
              Saya mula memainkan peranan secara psikologi dengan menerangkan tentang dosa mencuri, menuduh orang lain mencuri dan balasan Allah terhadap pencuri. Saya juga memberitahu Azmil tentang mustajabnya doa seorang ibu, dosa menipu ibu bapa dan betapa musibah akan menimpa anak yang derhaka. Wajah Azmil mula berubah menjadi pucat dan dia kelihatan resah. Tutur katanya juga menjadi tidak teratur. Saya psiko dia lagi tentang tindakan pihak polis sekiranya ibu bapanya melaporkan perkara tersebut ke balai polis. Dalam pada itu, saya tidak putus-putus berdoa ke hadrat Allah memohon pertolongan. 
           Akhirnya, Azmil membuat pengakuan bahawa dia yang mencuri duit yang ditinggalkan  semasa ibu bapanya mengerjakan umrah.  Sebahagian daripada duit tersebut telah digunakan untuk  membeli telefon bimbit, sedikit keperluan diri dan membelanja kawan-kawannya. Hanya tinggal beberapa ratus ringgit sahaja dalam simpanannya. Air mata keinsafan mengalir deras daripada kelopak mata Azmil menandakan dia menyedari dan menyesali kekhilafan yang telah dilakukan. Saya meminta Azmil menelefon ibunya bagi memaklumkan perkara yang sebenar dan memohon keampunan kepada ibunya.
                  Selang beberapa hari kemudian, Puan Anis menelefon saya dan memaklumkan  bahawa Azmil telah menelefon beliau. Azmil mengaku kesalahannya dan memohon keampunan daripada ibunya. Dia memulangkan baki duit yang ada dalam simpanannya dan berjanji akan mengubah sikapnya. Saya merafak kesyukuran ke hadrat Allah kerana memberikan pertolongan kepada saya.
              

No comments:

Post a Comment